KOTA KINABALU: Jemputan Barisan Nasional (BN) Sabah terhadap Perdana Menteri bagi menghadiri Himpunan BN Sabah yang dijadual pada Ahad ini di Sandakan mencetus spekulasi mengenai hala tuju kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memimpin kerajaan negeri ketika ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dijemput sebagai tetamu khas pada majlis yang dijadual turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Pengerusi BN Sabah.
Jemputan itu yang diedarkan kepada media turut menimbulkan andaian mengenai kemungkinan kerjasama di antara BN dan PH Sabah untuk menentang GRS, terutama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Ia turut menimbulkan rasa kurang senang penyokong kerajaan GRS-PH Sabah Plus yang mengharapkan kerjasama terjalin ketika ini dikekalkan sehingga PRN akan datang demi kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, menyatakan harapan agar Perdana Menteri tidak menghadiri himpunan berkenaan bagi menjaga kehormanian di antara GRS dan PH selaku gabungan yang membentuk kerajaan negeri.
“Adalah diakui wujud cadangan menggabungkan komponen BN dan PH untuk menentang GRS pada PRN-17 akan datang tetapi G57 berkeyakinan kepimpinan PH di Sabah akan menolak cadangan itu dan berkeyakinan PH akan terus bekerjasamasa dengan GRS.
“Harus diingat UMNO termasuk WARISAN dan KDM (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat) adalah parti pembangkang di Sabah, manakala GRS dan PH adalah parti yang membentuk kerajaan dan sudah tentu kehadiran Datuk Seri Anwar ke perhimpunan itu dilihat sebagai satu usaha memecah belah kesatuan GRS dan PH di Sabah,” katanya.

Katanya, tindakan kepemimpinan UMNO Sabah mengadakan Himpunan BN sambil menjemput Perdana Menteri dilihat hanya satu strategi bagi menjayakan misi untuk memporak perandakan kesatuan GRS dan PH di Sabah.
Justeru itu, beliau berharap agar Perdana Menteri tidak hadir, sebaliknya membiarkan kepemimpinan UMNO dan BN menentukan hala tuju mereka di Sabah.
“Ini bukan soal takut tetapi melibatkan Datuk Seri Anwar ke Himpunan BN sangat tidak wajar kerana BN adalah seteru kepada GRS dan PH di peringkat negeri. Ini dikhuatiri boleh mengundang ketidaktenteraman dalam kalangan parti yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Datuk Seri Anwar juga acap kali menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah, justeru keyakinan itu harus diterjemahkan untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran BN di Sabah,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO membayangkan untuk mengutamakan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah sejajar kedudukan kedua-dua parti sebagai rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan persekutuan. – Info X