SANDAKAN: Hanya calon tidak mempunyai sebarang konflik yang boleh memudaratkan parti akan dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata aspek itu adalah kriteria tambahan yang akan diambil kira dalam pemilihan calon bagi memastikan kemenangan BN.
Katanya, BN Sabah menetapkan tiga kriteria utama pemilihan calon iaitu diterima, disenangi dan boleh menang, namun aspek lain termasuk konflik dikaitkan dengan seseorang pemimpin turut diambil kira.
“Selain tiga keteria utama itu, BN akan memilih calon yang tidak mempunyai sebarang konflik yang boleh memudaratkan dan membawa kekalahan kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 5 merangkumi UMNO Kinabatangan, Libaran, Beluran, Batu Sapi dan Sandakan, di sini, malam tadi.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah mengakui memang sukar untuk memilih calon yang benar-benar diterima semua lapisan rakyat bagi bertanding di satu-satu kawasan, namun pilihan perlu dibuat dengan mengambil kira tiga kriteria itu, di samping kriteria lain yang dianggap penting.
Jelasnya, siapapun yang bakal dipilih pucuk pimpinan parti sebagai calon pada PRN17 nanti, setiap pemimpin dan ahli perlu mempunyai prinsip perjuangan dan kesetiaan dalam parti.
“Jangan hanya kerana tidak terpilih menjadi calon kita terus menggadaikan maruah menyertai parti lain, mensabotaj calon dipilih dan sebagainya. Sebagai pejuang, keutamaan kita adalah parti dan kemenangan dalam PRN,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, isu calon menjadi elemen utama pada PRN17, namun BN, khususnya ahli UMNO di semua peringkat perlu berfikiran terbuka dan mengambil sikap berlapang dada berhubung soal pemilihan calon.
“Bagaimanapun sekarang masih terlalu awal untuk bercakap soal calon, apa yang lebih penting UMNO dan parti komponen BN yang lain perlu terus memperkukuhkan jentera di semua peringkat bagi memastikan kita benar-benar bersedia menghadapi PRN17.
“Persiapan menghadapi PRN17 perlu diperincikan untuk memastikan UMNO dan BN mendapat mandat rakyat bagi mengambil alih tampuk pemerintahan negeri yang ketika ini gagal membela rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi pilihan pengundi pada PRN17, Bung Moktar mahu rakyat di negeri ini memberi peluang kepada UMNO / BN dan gabungannya untuk menyelesaikan isu air, jalan raya, elektrik dan ekonomi yang semakin meruncing ketika ini.
“UMNO / BN pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 24 tahun dan sepanjang tempoh itu, isu prasarana bekalan air bersih, jalan raya dan bekalan elektrik tidaklah seteruk hari ini
“Mungkin alasan kerana kepesatan pembangunan, keperluan pengguna meningkat atau faktor cuaca, tapi jika kerajaan mempunyai perancangan yang lebih bersistemetik dan tindakan yang konkrit, keadaan hari ini tidaklah memberikan tekanan kepada kehidupan rakyat,” katanya. – Info X