Search

PRN17: BN sedia kongsi kuasa – Ahmad Zahid

October 18, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan gabungan dan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri serta berkongsi kuasa selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesediaan itu berdasarkan analisis yang menjangkakan tiada parti atau gabungan politik yang menjadi dominan selepas keputusan pilihan raya diketahui.

Jelasnya, walaupun UMNO-BN menetapkan misi untuk merampas kerajaan negeri pada PRN17, ia menerima hakikat jika jangkaan analisis itu menjadi kenyataan.

“Ini kalilah peluang untuk kita merampas semula negeri Sabah di bawah UMNO-BN tetapi hakikatnya, realitinya, bahawa dalam analisis yang dilakukan tidak ada satu-satu parti politik atau gabungan yang dominan, itu hakikatnya.

“InsyaAllah UMNO sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan supaya kita sama-sama berkongsi kuasa.

“Dan insyaAllah di bawah BN, kita berjanji untuk satu perkara utama, kita akan laksanakan semua akujanji yang tercatat dalam menifesto yang akan kita laksanakan nanti,” katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian pada Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden UMNO itu menempelak pihak yang menggunakan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ dan tolak ‘parti Malaya’ untuk meraih sokongan menjelang PRN17.

Tegasnya, sentimen seumpama itu adalah tidak wajar kerana Sabah turut dipertahankan oleh pemimpin dan rakyat negeri lain ketika negeri ini berdepan ancaman seperti serangan pengganas Sulu di Tanduo pada 2013.

“Bila berlaku di Tanduo siapa yang datang mempertahankan Sabah? Orang ini datang (Ahmad Zahid), untuk Sabah, orang Malaya inilah yang mempertahankan Sabah.

“Siapa yang mengeluarkan arahan supaya menggunakan aset-aset tentera ke Tanduo? Di mana ESSCOM dan bila ESSCOM itu ditubuhkan? (Bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak yang menubuhkan ESSCOM, tempatnya di FELDA Sahabat,” katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa UMNO dan BN Sabah diberi autonomi supaya parti itu tidak dianggap sebagai ‘parti Malaya’, sebaliknya menjadi parti yang benar-benar untuk rakyat Sabah. – Info X