Search

PRN17: DAP Sabah sasar 6 hingga 8 kerusi

October 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: DAP Sabah menyasarkan antara enam hingga lapan kerusi untuk ditandingi di atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata jumlah itu termasuk kerusi yang disandang mereka sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, pihaknya juga ada berbincang dengan Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick mengenai agihan kerusi dalam kalangan anggota PH dan akan diteruskan lagi dalam masa terdekat.

“Jadi, Pengerusi PH, kita ada bincang dan semoga kita berbincang lagi nanti dan dari sudut pandangan DAP, saya punya Setiausaha Agung sudah buat kenyataan, kita ada dalam enam ke lapan kerusi, termasuk mempertahankan kerusi yang kita ada sekarang,” katanya.

Ketika ini DAP Sabah menyandang empat kerusi iaitu Luyang, Likas, Kapayan dan Tanjung Papat, selain dua kerusi yang mana sebelum ini penyandangnya meninggalkan parti iaitu Sri Tanjong dan Elopura.

Penyandang kerusi DUN Luyang itu ditemui selepas pengumuman pembubaran DUN Sabah di Menara Kinabalu pada Isnin.

Mengenai persediaan menghadapi PRN17, beliau berkata pihaknya akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi DAP Sabah pada hujung minggu ini untuk membuat beberapa keputusan berhubung pilihan raya.

Terdahulu, Jin Zhe menyifatkan pembubaran DUN sebagai hari yang bersejarah dalam proses demokrasi bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

“Hari ini merupakan hari yang amat bermakna dan juga bersejarah untuk kita semua ini sempena pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah dan bersiap sedia untuk pilihan raya yang baharu.

“So, ini adalah satu proses demokrasi yang selaras dengan Perlembagaan Negara kita. So, marilah kita sama-sama, setiap rakyat Sabah tanpa kira bangsa, kaum, agama dan latar belakang.

“Marilah kita sama-sama meraikan demokrasi kerana ini adalah satu proses yang sangat-sangat penting untuk seluruh rakyat membuat pilihan. Inilah keindahan proses dan institusi demokrasi kita,” katanya.

Jelasnya, apa saja pilihan yang bakal dibuat nanti adalah kemenangan kepada semua rakyat di bawag amalan demokrasi. – Info X