Search

PRN17: DUN Apas milik GRS, kata Nizam

August 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah siap sedia berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) untuk mempertahankan kerusi DUN Apas yang dikuasai gabungan itu sejak 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata GRS mampu kekal menguasai kerusi itu dengan sokongan ahli yang terus bertambah, khususnya Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, berkata Gagasan Rakyat bahagian Apas akan memberi yang terbaik demi kemenangan calon GRS di kerusi berkenaan pada pilihan raya itu nanti.

“Gerak kerja yang mantap dari akar umbi bersama pasukan menyaksikan sambutan masyarakat di DUN Apas terhadap Gagasan Rakyat begitu baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama Ketua-ketua Pemuda, Beliawanis dan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat bahagian Kuamut dan Lamag, di sini, semalam.

Nizam berkata, ketika ini DUN Apas nerekodkan lebih 10,000 ahli Gagasan Rakyat dengan 183 cawangan, menggambarkan sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat kawasan itu.

“Setiap hari kita menerima permohonan untuk menjadi ahli Gagasan Rakyat dan menubuhkan cawangan.

“Perkara itu terbukti apabila jumlah keahlian Gagasan Rakyat DUN Apas setakat ini mencecah lebih 10,000 ahli dan mempunyai 183 cawangan,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah menyangkal dakwaan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatakab ramai ahli menyertai parti itu di Tawau, Kudat dan Sandakan.

Sebaliknya, Nizam mendakwa beliau melihat semakin ramai yang keluar dari Parti Warisan dan ingin menyertai Gagasan Rakyat.

“Ini adalah kenyataan dan terbukti cawangan Gagasan Rakyat yang kita tubuhkan di kawasan Apas sendiri sebanyak 183 cawangan dan mereka ini termasuk bekas ahli dan pemimpin Parti Warisan di Bahagian Apas,” katanya. – Info X