Search

PRN17: DUN dibubar tidak lama lagi – KM

September 21, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan dalam masa terdekat sebelum tarikh tamat tempoh DUN sekarang yang dijadual terbubar sendiri pada 11 November depan.

Beliau berkata pembubaran untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah itu perlu tidak kira sama ada keadaan cuaca mengizinkan atau tidak

Hajiji bagaimanapun tidak menyebut sama ada tarikh itu pada Oktober atau November.

Katanya, pembubaran DUN tidak bergantung kepada ramalan cuaca yang dibuat Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), memandangkan tempoh DUN sekarang sudah di penghujung.

“Itu Jabatan Kajicuaca tapi kita yang menentukan. Kita tiada pilihan sebab tempoh DUN terbubar sendiri pada November, jadi, mesti kita buat sebelum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata demikian ketika ditanya sama ada DUN dibubarkan pada Oktober yang dijangka musim hujan.

Sebelum itu, beliau berseloroh mengatakan pembubaran DUN akan dibuat apabila keadaan cuaca di Sabah baik.

Iamerujuk kepada keadaan cuaca tidak menentu di Sabah ketika ini dengan hujan berterusan dan banjir di beberapa daerah.

“Memang tidak lama lagii sabarlah, tunggu. Kalau cuaca ini terang, kita bubarlah, tunggu cuaca baik nanti,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Hajiji berkata beliau yakin rakyat Sabah terutama 970,000 pengundi muda akan membuat pilihan yang bijak pada PRN17 nanti. – Info X