Search

PRN17: Gagasan Rakyat Bugaya mahu pecah dominasi Warisan di Semporna

March 29, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Bugaya komited untuk memecahkan dominasi Parti Warisan di Semporna pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Bahagiannya, Marunda KK Ampong, mendakwa jentera Warisan Semporna sudah lumpuh sejak beliau meninggalkan parti itu pada Mac 2023 bersama lebih 4,000 ahli Parti Warisan.

Katanya, selepas Barisan Nasional (B) mendominasi Semporna sejak sekian lama dan kemudian ditawan Warisan, kini tiba masanya Gagasan Rakyat menawan Semporna terutama DUN Bugaya.

“Saya sudah gerakkan jentera, kita tubuhkan sayap-sayap dan selepas itu kita mula turun ke bawah untuk mendaftar cawangan-cawangan yang berminat.

“Waktu saya keluar dari Parti Warisan, lebih 4,000 keluar bersama-sama saya untuk menyertai Gagasan Rakyat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis iftar Ramadan dan penyampaian sumbangan sentuhan kasih kepada 1,200 orang penerima di Dewan Sungai Buaya, di sini, pada Jumaat.

DUN Bugaya ketika ini diwakili Jamil Hamzah dari Warisan yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada November 2022 berikutan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020.

PRK ditunda sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022 berikutan darurat COVID-19 yang hanya ditamatkan selepas pandemik itu pulih. – Info X