SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengintai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong untuk meletakkan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Naib presidennya, Datuk Masiung Banah, mendakwa Gagasan Rakyat mendapat sokongan majoriti rakyat di kawasan berkenaan bagi merampas kerusi DUN Sekong daripada pembangkang.
“Berdasarkan penelitian saya dalam beberapa siri lawatan di kawasan DUN berkenaan, jelas menunjukan Gagasan Rakyat diketuai Safarudin Abu menguasai 68 peratus sokongan rakyat berbanding parti-parti lain dalam gabungan GRS dan Pakatan Rakyat (PH).
“Saya memberi jaminan Gagasan Rakyat berpotensi besar menang di kawasan itu sekali gus merampas kerusi DUN Sekong daripada parti Warisan,” katanya ketika melawat ‘War Room’ Gagasan Rakyat Sekong, di sini.
Masiung yang juga Pengerusi Zon 10 Gagasan Rakyat Sandakan, berkata beliau yakin parti pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu menjadi pilihan nombor satu masyarakat pelbagai lapisan di Sekong.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi jaminan positif sekiranya parti lain dalam GRS dan PH diletakkan bertanding di kawasan itu.
ADUN Kuamut itu berkata, laporan timbal balik secara terperinci di semua tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekong jelas dikuasai Gagasan Rakyat sebagai tulang belakang GRS.
“Statistik Gagasan Rakyat ternyata jauh lebih tinggi meninggalkan parti-parti lain yang berminat meletakan calon di DUN Pantai Timur itu.
“Pandangan badan bebas dan risikan Unit Cawangan Khas beruniform harus diambil kira agar tidak merugikan peluang GRS di Sekong pada PRN17,” tambahnya.
Masiung diiringi Wakil Rakyat Karamunting yang juga timbalan pengerusi zon 10, Datuk George Hiew dalam lawatan singkat di pejabat Gagasan Rakyat Sekong.
Sementara, Hiew, meletakkan keyakinan terhadap kemampuan Gagasan Rakyat di Sekong dengan kekuatan lebih 300 cawangan, bagi menawan kerusi berkenaan.
Katanya, kewujudan parti lain dalam komponen GRS dan PH boleh menambahkan lagi pengaruh Gagasan Rakyat di kerusi itu. – Info X