Search

PRN17: Gagasan Rakyat sasar rampas kerusi Lamag, Sukau

March 17, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meletakkan sasaran untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Sukau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah, berkata pihaknya yakin perubahan politik bakal berlaku di kawasan tradisi UMNO itu selepas Gagasan Rakyat membentuk jajaran baharu yang meyakinkan.

Katanya, Gagasan Rakyat akan meletakkan calon terbaik pada PRN17 nanti bagi merampas kedua-dua kerusi berkenaan.

“Berdasarkan sambutan luar biasa pada dua siri lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke Sukau, ia memberi petanda jelas bahawa parti itu semakin popular dan mendapat sokongan majoriti masyarakat akar umbi.

“Gagasan Rakyat adalah parti tempatan, kita mampu meraih sokongan yang besar untuk merampas kerusi DUN Sukau dan Lamag.

“Saya melihat landskap politik di kedua-dua DUN memperlihatkan perubahan ketara kebelakangan ini, kita Gagasan Rakyat bersama parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah Sabah (GRS) akan bekerja keras memastikan kemenangan pada PRN nanti,” katanya.

Masiung ditemui media ketika mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis Iftar Ramadhan di Masjid Tun Juhar, Sukau yang dihadiri lebih 3,000 warga warga Sukau dan Lamag.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata kerajaan akan menunaikan apa yang dijanjikan, berbanding kumpulan pembangkang yang hanya mampu mencipta cerita dan menabur janji.

“Parti-parti pembangkang hanya mampu mereka cipta isu supaya rakyat membenci pemimpin kerajaan sambil mencipta tohmahan untuk mendapatkan sokongan,” katanya.

Katanya, sebelum ini Ketua Menteri memberi jaminan memberi tumpuan khusus kepada Sukau dan Lamag, termasuk menubuhkan Pejabat Daerah Kecil Sukau yang terlaksana pada 15 Februari lalu selain pembinaan dewan Sukau bernilai RM3 juta. – Info X