TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membuat keputusan mengenai sebarang kerjasama politik dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menentukan hala tuju GRS pada pilihan raya itu nanti.
“GRS belum lagi buat sebarang keputusan. Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN17, termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan kerusi dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan 200 lembu korban sempena sambutan Aidiladha, di sini, pada Khamis.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini yang menegaskan hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN 17).
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

Terdahulu, Hajiji yang juga ADUN Sulaman menyerahkan sebanyak 200 lembu korban yang akan diagihkan di daerah ini sempena sambutan Aidiladha yang akan disambut pada Sabtu ini.
Penyerahan haiwan berkenaan disempurnakan Ketua Menteri di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik, di sini, pada Khamis.
Penerima agihan sumbangan lembu korban terdiri daripada wakil masjid dan surau kawasan parlimen Tuaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi negeri dan daerah.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Hajiji berkata ibadah korban bukan saja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, malah juga menjadi medium pengukuhan perpaduan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.
“Ibadah korban membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam.
“Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian,” katanya. – Info X