KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum menetapkan tarikh bagi membincangkan secara rasmi agihan kerusi parti komponennya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata setakat ini hanya perbincangan tidak rasmi diadakan, namun belum ada sebarang keputusan mengenai soal agihan kerusi yang bakal ditandingi setiap parti.
“Secara tidak rasmi kita (pemimpin GRS) sentiasa berjumpa dari semasa ke semasa tetapi mesyuarat yang rasmi belum lagi ditetapkan.
“Kita tidak tergesa-gesa bincang soal agihan kerusi kerana saya yakin semua parti komponen GRS ada kesepakatan yang kita bina selama ini.
“Ia pasti memudahkan rundingan mengenai agihan kerusi GRS apabila sampai masanya nanti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Masidi ditanya sama ada GRS sudah menetapkan tarikh bagi membincangkan soal agihan kerusi yang sebelum ini dijangka diadakan selepas sambutan Aidilfitri.
Masidi berkata, soal bila perbincangan mengenai agihan kerusi dan PRN17 diadakan bukan keutamaan kerajaan ketika ini.
“Belum ada lagi tarikh bila kita adakan mesyuarat untuk bincang agihan kerusi, tarikh PRN pun kita tidak tahu bila. Kita rasa fokus kita sekarang ialah buat kerja dan laksanakan tugas,” katanya.
Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata keutamaan kerajaan ketika ini ialah memastikan peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan Sabah bagi tahun ini dilaksanakan segera.
“Saya sendiri meminta pegawai memastikan peruntukan dalam Belanjawan Negeri diagihkan segera kepada agensi dan kementerian untuk dibelanjakan.
“Selaku Menteri Kewangan saya dapati selepas Ramadan dan Syawal ini ada keperluan untuk menyegerakan penyaluran peruntukan kewangan itu,” katanya. – Info X