Search

PRN17: GRS landasan utama tentukan hala tuju negeri – Dr Yusof

June 18, 2025

Info X Reporters

SINDUMIN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dijadikan sebagai landasan utama untuk menentukan hala tuju politik negeri ini tanpa terlalu bergantung kepada pihak luar.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata GRS adalah landasan bagi orang Sabah untuk mendominasi negeri ini.

“Kita mahu orang Sabah menggunakan landasan GRS untuk mendominasi Sabah. Gunakan kekuatan dalaman kita. Kita tidak boleh bergantung dengan orang luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Mesyuarat Tahunan Gagasn Rakyat Sindumin yang dirasmikan Naib Presidennya, Datuk Rubin Balang, pada Rabu.

Dr Yusof turut menyentuh soal kerjasama politik, namun menegaskan bahawa sebarang kerjasama mestilah dilakukan atas dasar saling menghormati.

“Ini merujuk kepada tindakan beberapa parti luar yang mengumumkan kerusi akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal tanpa rundingan.

“Kita boleh kerjasama, tapi mereka mesti hormat kita. Tapi sekarang mereka sudah umum kerusi akan ditandingi pada PRN nanti, rakyat Sabah perlu faham perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Yusof menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang, selaras dengan seruan yang dibuat oleh kepimpinan gabungan itu.

“Kita sahut seruan tanding solo. Tapi yang penting, kita perlu ada kekuatan dalaman. Kita kena kerja kuat dan ada azam yang tinggi,” katanya.

Beliau juga meluahkan keyakinan bahawa GRS adalah gabungan terbaik untuk terus menerajui pentadbiran negeri Sabah.

“Saya yakin GRS akan terus memerintah Sabah. Kita hanya perlu terus bekerja keras dan memperkukuhkan perpaduan,” katanya. – Info X