Search

PRN17: GRS perlu cari ‘sparing partner’ yang betul – Isnin

November 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mencari rakan parti yang benar-benar boleh bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Menyuarakan perkara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Isnin Aliasnih, berkata jika mahu bersama Pakatan Harapan (PH), maka GRS perlu membuat ketetapan itu.

Beliau bagaimanapun menolak jika GRS mahu bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan yang dibimbanginya akan menjejaskan kedudukan GRS pada kemudian hari.

“Kita kena cari betul-betul kita punya ‘sparing partner’. Kalau kita mahu GRS bersama PH, kita tetapkan GRS bersama dengan PH tetapi jangan sekali-kali dengan BN, jangan sekali-kali dengan Warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Persidangan Perwakilan Tahunan Gagasan Rakyat di SICC, di sini, pada Ahad.

Isnin yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias, berkata GRS perlu dijaga dengan baik dan tidak membiarkan pihak lawan memperkecilkan kedudukannya.

Sementara itu, katanya tanggapan parti lawan yang melihat GRS sebagai kapal kecil berbanding mereka yang disifatkan kapal besar tidak memberi kesan kepada GRS.

“Kelmarin ada satu perjumpaan, saya dengar perjumpaan di Usukan, ada sahabat kita dulu dia cakap kita ini perahu kecil, jadi ikut mereka kerana kapal besar.

“Tapi, dia lupa, itu kapal besar yang bocor, sebab kapal besar itu dulu kita yang ada di sana. Kenapa kita keluar masa itu? Sebab kapal bocor.

“Kedua, di sana tiada juragannya kerana juragannya ada di sini,” katanya.

Dalam perbahasannya, Isnin turut menyuarakan harapannya agar rakan parti komponen GRS bersikap rasional dalam meminta agihan kerusi untuk ditandingi pada PRN nanti. – Info X