Search

PRN17: GRS-PH Plus yang tentukan hala tuju kerjasama – Hajiji

November 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus yang sepatutnya menentukan hala tuju selaku parti yang memerintah negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Menekankan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata orang lain tidak perlu menentukan masa depan kerajaan negeri yang dipimpinnya.

“Apa yang penting, GRS – PH Plus adalah kerajaan negeri, kita yang menentukan hala tuju kita. Kita tidak mahu orang lain yang menentukan masa depan kita di sini.

“Jadi, sebagai sebuah kerajaan yang ada pada hari ini, bagi saya, kita kena membuat satu formula yang terbaik untuk negeri kita,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji melancarkan buku My Journey yang mengisahkan perjalanan hidupnya sempena Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat di SICC.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS diminta mengulas perjumpaan tidak rasmi Barisan Nasional (BN) dan PH Sabah berhubung kerjasama ke arah PRN17, baru-baru ini.

Presiden Gagasan Rakyat itu menyifatkan perjumpaan berkenaan adalah urusan kedua-dua gabungan parti berkenaan, namun tidak menolak kemungkinan GRS boleh bekerjasama dengan parti lain.

“Itu urusan mereka, tapi bagi kita, kita melihat sesuatu itu dari sudut positifnya. Sebagai kerajaan negeri yang dipelopori oleh GRS – PH Plus, ini menjadi keutamaan kita.

“Tapi, ini bukan bermakna kita tidak boleh bekerjasama dengan lain-lain parti. Kita boleh bekerjasama demi kebaikan Sabah,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan dasarnya, Hajiji berkata, menjelang PRN17, GRS akan terus menawarkan diri sebagai pilihan kepada rakyat Sabah yang akan menentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya nanti.

“Ini kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Kerajaan ini tetap menjadi platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan legasi perjuangan,” katanya. – Info X