KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah dan Pakatan Harapan (PH) sudah mengadakan beberapa siri perbincangan mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perbincangan itu termasuk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH.
Katanya, keputusan perbincangan akan diumumkan apabila tiba masanya.
“Ya, kami telah berbincang beberapa kali, termasuk dengan Perdana Menteri sebagai Pengerusi PH. Jadi saya rasa kita akan membuat keputusan akhir nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.
Pengerusi GRS itu ditanya perkembangan rundingan GRS-PH setakat ini.
Beliau juga berkata, GRS sudah pasti akan bertanding majoriti kerusi pada pilihan raya itu nanti.
Katanya GRS juga mahu mendengar aspirasi tempatan yang dicadang parti komponennya.
“Jadi kita akan buat keputusan terbaik untuk Sabah. Bagi kita kestabilan politik amat penting bukan semata-mata menang pilihan raya, tapi selepas PRN kita mesti ada kestabilan politik.
“Dari situ baru kita boleh merancang dan membangunkan negeri,” katanya.
Sementara itu, katanya Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada akhir minggu ini bakal menjadi tumpuan berikutan pilihan raya yang semakin hampir.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa selepas persidangan itu. – Info X