Search

PRN17: GRS-PH yang patut tentukan ruang lingkup kerjasama – Masidi

November 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Soal kerjasama politik membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah sepatutnya diputuskan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu diluahkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun yang berpandangan GRS dan PH sepatutnya membuat keputusan mengenai parameter kerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Ini pandangan peribadi saya tetapi saya rasa ramai pemimpin GRS mempunyai pandangan yang sama. Kita bukan mengkritik, kita bukan anti Kuala Lumpur, kita hanya mahu orang Sabah dihormati selayaknya.

“Kita bukan lebih-lebih, kerana seperti yang saya katakan, apabila orang Sabah merasa diri dihargai, dia akan menjadi seorang rakyat Malaysia yang bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat, di SICC, hari ini.

Sebelum ini, BN dan PH Sabah mengadakan pertemuan tidak rasmi dan bersetuju mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, selain menyatakan keterbukaan untuk menjalin hubungan dengan parti lain sebagai persediaan menghadapi PRN17.

Mengenai jawatankuasa rundingan kerusi yang dibentuk Gagasan Rakyat, Masidi selaku pengerusinya berkata pihaknya belum lagi memulakan rundingan dengan parti komponen GRS yang lain.

“Kita belum memulakan perundingan kerana kita rasa belum ada keperluan untuk mengadakan perundingan serta-merta, tapi dalam di kalangan GRS sendiri, kita merasakan tidak terlalu rumit untuk
merundingkan.

“Bagi saya pada akhirnya, tujuan terakhir adalah untuk memenangi
pilihan raya. Tidak kisah daripada siapa yang menjadi calon, kita semua tahu bahawa dia mewakili GRS, itu yang penting,” katanya. – Info X