KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka menghadapi parti lawan, termasuk Perikatan Nasional (PN) yang berhasrat bertanding lebih 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata PN dan mana-mana parti yang ingin bertanding dialu-alukan datang, termasuk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan yang diwakilinya.
Beliau berkata, perkara itu sejajar dengan amalan demokrasi yang tidak menghalang sesiapa saja, malah beliau mempersilakan pelbagai pihak bertanding pada PRN itu nanti.
“Kerana itulah kalau mereka selesa atau ada peluang boleh menang, dipersilakan. Kita tidak ada halangan, lagipun ini cuma pertandingan PRN, bukan pertandingan untuk ‘bertumbuk’ antara satu dengan lain.
“Kita di Sabah tidak melihat saingan politik ini sebagai sesuatu yang peribadi. Kita boleh berbeza dari segi amalan politik, dari segi budaya dan kita tidak pernah mengutuk orang lain.
“Kita laksanakan dan kita praktikkan politik kita secara berhemah, secara persahabatan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina AFFIN Bank Berhad, di sini, malam tadi.
Menteri Kewangan negeri itu berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat PN, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bertanding sekurang-kurangnya 18 kerusi pada PRN17 nanti.
Sementara itu, Masidi yakin sokongan rakyat Sabah kekal kuat terhadap parti tempatan, khususnya GRS.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan parti yang diyakini mampu meneruskan pentadbiran Sabah dengan baik selepas PRN nanti.
“Saya serahkan kepada pengundi, tapi saya bukan bercakap seolah-olah saya ‘overconfident’ dan sebagainya, seolah merasa riak.
“Tapi, setakat yang saya dapat maklum balas kerana saya selalu balik kampung setiap hujung minggu, saya rasa rakyat masih menyokong kita,” katanya. – Info X