KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan hanya sibuk bertelagah mengenai projek yang didakwa sebagai usaha masing-masing, tapi lupa kedua-duanya tidak pernah mendapat mandat rakyat.
Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, mendakwa kedua-dua parti itu hanya menyajikan rakyat Sabah dengan babak murahan politik pertelagahan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).
“GRS dan WARISAN sibuk menuntut nama atas projek-projek pembangunan. Hari ini satu pihak mendakwa ‘itu projek kami’, esok pihak satu lagi pula menegaskan ‘itulah hasil kerja kerajaan kami’.
“Namun, persoalan sebenar bukan siapa buat projek, tetapi siapa sebenarnya mendapat mandat rakyat untuk mentadbir Sabah? Jawapannya mudah, GRS dan WARISAN kedua-duanya tidak pernah mendapat mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, Kerajaan WARISAN sebelum ini terbentuk bukan melalui suara rakyat di peti undi, tetapi melalui lompatan enam ADUN yang diaifatkannya sebagai satu pengkhianatan terhadap prinsip demokrasi.
Katanya, GRS pula lahir bukan daripada mandat rakyat, tetapi daripada ‘manuver’ politik selepas UMNO BN menarik sokongan terhadap Pengerusi GRS.
“Ia bukan kekuatan rakyat, tetapi pakatan kepentingan peribadi untuk kekal berkuasa. Kini, setelah bertahun menunggang kuasa tanpa mandat, kedua-dua kumpulan ini masih sibuk berdebat siapa lebih berjasa sedangkan yang terus menderita ialah rakyat.
“Jalan raya rosak, bekalan air dan elektrik tidak stabil, kos sara hidup meningkat tetapi mereka lebih ghairah menuntut nama di papan tanda projek berbanding menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
“Inilah politik ‘kerajaan tanpa mandat’ gah di media, lumpuh di akar umbi. Mereka bertarung siapa mahu dilihat sebagai penyelamat, padahal kedua-duanya gagal menyelamatkan kepercayaan rakyat Sabah,” katanya.
Katanya, Barisan Nasional (BN) tidak perlu meniru gaya politik seperti itu, malah beliau berkata ketika BN mentadbir Sabah, pembangunan bukan sekadar slogan, tetapi bukti nyata daripada mandat tulen rakyat.
Jelasnya, BN tidak lahir daripada lompatan, tidak hidup atas belas ihsan gabungan sementara dan tidak menjadikan projek sebagai modal propaganda.
“Sabah memerlukan kepimpinan yang berani kembali kepada asas demokrasi sebenar kerajaan yang lahir daripada mandat rakyat, bukan daripada percaturan politik sempit.
“Akhirnya, GRS dan WARISAN boleh terus berebut nama di papan tanda projek, tetapi yang akan kekal dalam hati rakyat ialah siapa yang benar-benar menunaikan amanah.
“Sejarah telah membuktikan hanya BN pernah melakukannya,” katanya. – Info X