Search

PRN17: Hajiji jumpa Tun Musa cetus spekulasi bubar DUN malam ini

October 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu menjadi perhatian malam ini selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dikatakan mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Pertemuan itu dipercayai ada kaitan dengan perkembangan politik semasa, termasuk berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan berhubung topik sebenar pertemuan di antara Hajiji dan Tun Musa itu yang selesai sebelum jam 7 malam ini setelah tiba pada awal jam 5 petang tadi.

Setelah keluar dari Istana, kenderaan membawa Hajiji dilihat bergerak ke Jalan Tuaran, dipercayai pulang ke kediamannya di Rumah Yayasan Sabah di Likas.

Pagi tadi, Hajiji turut menghadiri istiadat angkat sumpah Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M Yanya yang dilantik semula ke jawatan itu di Istana Seri Kinabalu.

DUN Sabah akan terbubar sendiri pada 11 November depan jika Hajiji tidak mengemukakan permohonan kepada TYT untuk membubarkan DUN.

Selepas permohonan membubarkan DUN diluluskan oleh TYT, barulah Ketua Menteri boleh mengumumkan pembubaran berkenaan dan selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan tanggungjawabnya mengadakan pilihan raya. – Info X