Search

PRN17: Hak Abdul Rahman beri pandangan, tapi UMNO Sabah kekal bersatu, fokus menangi pilihan raya – Bung Moktar

July 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan kenyataan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berhubung keputusan parti meninggalkan kerajaan negeri sebelum ini sebagai hak beliau untuk memberikan pandangan.

Bung Moktar berkata, sebagai seorang pemimpin kanan UMNO dan sahabatnya yang sudah lama bersama dalam perjuangan parti, Abdul Rahman mempunyai hak sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan peribadi beliau.

Katanya, ia adalah keterbukaan yang menjadi amalan dalam sistem demokrasi dan menandakan kematangan politik dalam UMNO Sabah itu sendiri.

“Saya faham bahawa beliau merujuk kepada peristiwa yang berlaku pada tahun 2022 dan menggunakan contoh tersebut sebagai gambaran wujudnya perbezaan pandangan antara kami pada ketika itu.

“Sebagai rakan seperjuangan dan sahabat lama dalam parti, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang biasa. Apa yang penting ialah bagaimana kita menyelesaikannya dengan berhemah.

“Beliau juga maklum bahawa keputusan yang diambil ketika itu bukan bersifat peribadi tetapi hasil daripada persetujuan bersama kepimpinan UMNO Sabah setelah mempertimbangkan segala implikasi secara menyeluruh,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun berkata perkara berkenaan sudah berlalu dan menjadi sejarah yang pernah berlaku di negeri ini.

“Perkara itu sudah berlalu. Kita menghormati sejarah tetapi kita tidak akan menjadi tawanan kepada masa silam,” katanya.

Bung Moktar berkata, pihaknya juga sedar terdapat media cuba memutar kembali cerita lama itu untuk mencorakkan naratif mereka.

“Namun saya ingin tegaskan, UMNO Sabah hari ini kekal bersatu, fokus dan komited sebagai satu pasukan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) yang akan datang.

“Misi UMNO Sabah adalah satu iaitu untuk menang dalam pilihan raya negeri. Kami sudah bersedia dengan jentera akar umbi yang kukuh, semangat yang diperbaharui dan agenda yang jelas untuk mengembalikan maruah serta tadbir urus yang berkesan di bawah kepimpinan nasional yang kuat,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Lamag, berkata dalam landskap politik hari ini sama ada di Sabah, Malaysia, mahupun di peringkat global, rakyat lebih menghargai pemimpin yang menawarkan penyelesaian, bukan yang terperangkap dengan masa lalu.

Sebab itu, katanya UMNO Sabah memilih untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan sebahagian daripada masa depan.

Abdul Rahman dilaporkan berkata keputusan UMNO Sabah keluar daripada kerajaan negeri sebagai satu kesilapan besar yang melemahkan kedudukan dan pengaruh parti itu di negeri ini. – Info X