Search

PRN17: Hanya logo PKR atau PH untuk calon PKR

September 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah hanya menggunakan logonya sendiri atau logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Menegaskan perkara itu, Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata PKR tidak akan menggunakan logo parti lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya, perkara itu sudah diamalkan pada PRN lalu yang menyaksikan ada rakan parti dalam gabungan disertai menggunakan logo yang berlainan.

“Bagi kami hanya logo PKR atau PH yang akan digunakan. Kita tiada kena-mengena dengan keputusan GRS untuk menggunakan hanya satu lambang walaupun kita bekerjasama dengan mereka nanti.

“Laporan dibuat media sebelum ini mengenai kenyataan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew yang mengatakan PKR atau PH sedia menimbangkan penggunaan logo GRS adalah tidak tepat.

“Bagaimanapun, kita menghormati keputusan GRS untuk menggunakan logo mereka sendiri pada PRN nanti,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan agar parti nasional yang bekerjasama dengan GRS pada PRN17 Sabah nanti supaya menggunakan logo GRS ketika bertanding.

Sementara itu, Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, mengulangi pendirian PKR mengenai kedudukan parti itu sebagai sebuah parti nasional yang ditubuhkan serentak di seluruh negara pada 4 April 1999.

Katanya, istilah parti Malaya untuk merujuk parti nasional, khususnya PKR adalah tidak tepat, memandangkan ia ada di setiap negeri sejak ditubuhkan dan hanya dianggotai oleh rakyat negeri terbabit.

“Kecuali jika parti itu ditubuh dan berkembang di Semenanjung sebelum ini dan sesudah itu barulah melebarkan sayap ke Sabah, maka itu adalah berbeza.

“Namun, bagi PKR ia diwujudkan serentak di seluruh negara pada 1999. Pada masa itu juga PKR sudah ada di Sabah,” katanya.

Jelasnya, PKR Sabah menghargai kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS baru-baru ini yang menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan PH pada PRN17. – Info X