Search

PRN17: Jaffari Waliam yakin tawan DUN Gum-Gum jika dicalonkan

September 8, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, menyatakan kesediaannya untuk menjadi calon jika diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Jaffari yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata bertanding bukan semata-mata untuk mengisi kerusi, sebaliknya membawa suara akar umbi, memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan menjadikan Gum-Gum sebagai kubu kuat Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya sedia memikul tanggungjawab ini demi rakyat Gum-Gum sekiranya diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti. Jentera kita juga sudah bersiap siaga untuk memastikan kerusi ini kembali dimenangi GRS,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Bantuan Khas ADUN Dilantik kepada beberapa kampung sekitar Gum-Gum di Balai Raya Kampung Ulu Dusun, Batu 30, di sini, pada Ahad.

Pada program itu, seramai 115 penerima mendapat bakul makanan, empat keluarga menerima 60 keping zink, manakala seorang lagi diberi 10 keping papan lapis bagi membaiki rumah.

Antara kampung terlibat termasuk Kampung Sungai Kapor, Desa Menanti, Kitagas, Pangkalan Batu 16 dan Ulu Dusun dengan kerjasama ketua-ketua cawangan Gagasan Rakyat Bahagian Gum-Gum.

Jaffari berkata, jika diberi peluang bertanding, beliau mahu memberi penekanan kepada isu asas rakyat di kawasan itu seperti peningkatan infrastruktur jalan kampung, keperluan bekalan air bersih, akses pendidikan berkualiti dan peluang ekonomi untuk belia serta golongan wanita.

“Gum-Gum mempunyai potensi besar tetapi masih banyak isu asas yang perlu diberi perhatian. Saya mahu pastikan pembangunan sampai ke setiap kampung tanpa mengira latar belakang, seiring dengan dasar Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Dalam pada itu, Jaffari turut menyuarakan harapan agar pucuk pimpinan memberi laluan kepada GRS untuk menurunkan calon di kerusi DUN Gum-Gum pada PRN17 nanti.

“Kerusi ini amat penting kepada GRS dan saya berharap ia ditandingi oleh parti dalam gabungan ini agar kita dapat memperkukuh kedudukan serta memastikan suara rakyat diwakili dalam kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya, rekod pentadbiran kerajaan GRS–PH Plus yang menekankan pembaharuan pentadbiran, pengurusan kewangan berhemah serta pelbagai inisiatif kebajikan rakyat menjadi asas keyakinannya bahawa kerusi DUN Gum-Gum mampu dirampas kembali.

Kerusi DUN Gum-Gum kini disandang Arunarnsin Taib dari Parti Warisan yang memenanginya pada PRN lalu dengan majoriti 269 undi selepas memperoleh 3,140 undi, menewaskan calon BN, Datuk Suhaimi Nasir yang meraih 2,871 undi dalam pertandingan enam penjuru. – Info X