KOTA KINABALU: Kehadiran calon bebas pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tidak seharusnya dipandang rendah, kata Presiden Pertubuhan Prihatin Rakyat Sabah (PPRS), Datuk Mohd Fadli Fathullah.
Beliau berkata ia terutamanya apabila matlamat utama mereka bertanding adalah untuk membela nasib rakyat dan membawa perubahan di peringkat akar umbi.
Katanya, pihaknya sendiri menerima pelbagai aduan penduduk setempat yang mendakwa isu tempatan tidak ditangani dengan berkesan oleh wakil rakyat sedia ada.
“Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang yang menyatakan tindakan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) yang juga ahli DAP, Cyril Liew ingin bertanding calon Bebas sebagai terdesak adalah silap besar.
“Berdasarkan laporan yang diterima kepada PPRS banyak aduan di kawasan DUN beliau tidak dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sebelum ini, Cyril mengumumkan bakal bertanding calon bebas menerusi satu pakatan dinamakan Gelombang Hitam diketuai Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.
Mohd Fadli berkata, tindakan Cyril untuk bertanding bebas adalah tepat untuk membantu masalah rakyat di kawasan Kapayan.
“Cyril mengambil keputusan untuk bertanding bebas supaya beliau dapat meneruskan perjuangannya dalam membangunkan dan membela nasib rakyat di kawasan itu.
“Sudah tiba masanya generasi baharu tampil untuk memimpin Sabah,” katanya.
Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, beberapa calon Bebas berjaya memenangi kerusi ditandingi mereka, antaranya Verdon dan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.
Ketika PRN Sabah 2020 pula, antara calon bebas yang berjaya memenangi kerusi ialah Datuk Ruddy Awah (Pitas) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut) sebelum menyertai parti kerajaan. – Info X