Search

PRN17 : KDM kekal dengan perancangan awal tanding solo

March 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan kekal dengan perancangan awal mereka iaitu bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Willie Jude Junaidi berkata, keputusan itu telah dibuat Pimpinan Tertinggi KDM sejak dari awal dan ianya tidak berubah walaupun keputusan kes mahkamah tidak berpihak kepada Presiden mereka, Datuk Peter Anthony, semalam.

“Perancangan KDM bagi menghadapi PRN17 kekal seperti yang dirancang Datuk Peter dan Pimpinan Tertinggi parti sebelum ini.

“KDM akan kekal bergerak solo pada PRN nanti dan kita juga sudah mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi, iaitu mencecah lebih 45 kerusi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Willie berkata, sokongan kepada KDM tidak terjejas susulan pemenjaraan Peter.

Malah katanya, semangat parti itu semakin membara walaupun dugaan yang dihadapi mereka semakin banyak dan berat.

“Saya yakin sokongan kepada KDM tidak terjejas kerana dari awal lagi kami sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk memberi penjelasan kepada penyokong pada siri jelajah kami.

“Saya juga yakin sokongan kepada KDM akan terus bertambah selepas ini, tiada masa lagi untuk kami menoleh ke belakang, perjuangan harus diteruskan.

“Dengan kepimpinan dua Timbalan Presiden (Priscella Peter dan Datuk Wetrom Bahanda) serta pucuk pimpinan KDM yang lain, parti ini akan tetap gagah menghadapi apa jua rintangan untuk mencipta kejutan demi kejutan pada PRN17 nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Willie berkata, parti itu akan membincangkan soal kepimpinan parti berkenaan selepas Peter diperintah menjalani hukuman penjara tiga tahun, berkuatkuasa semalam.

Katanya, perkara itu antara agenda yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM yang dijadual pada Jumaat ini.

Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan langkah KDM selanjutnya, terutama dalam mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka tidak lama lagi.

“Pimpinan Tertinggi KDM akan bermesyuarat pada Jumaat ini untuk menentukan langkah kita seterusnya. Beberapa perkara akan dibincangkan termasuk mengenai kepemimpinan parti susulan kes Datuk Peter.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan selepas mesyuarat itu nanti,” katanya.

Semalam, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Ia berikutan keputusan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin yang bersidang semalam mengekalkan hukuman terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.

Sabitan itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 selepas Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didapati bersalah atas pertuduhan memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam itu, Peter secara automatik hilang kelayakan sebagai ADUN dan tidak boleh menyertai pilihan raya selaras peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. – Info X