Search

PRN17: KDM teruskan perjuangan ubah kerajaan

December 15, 2024

Info X Reporters

TENOM: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) tidak terjejas walaupun Presidennya, Datuk Peter Anthony tidak dapat bertanding jika rayuan akhir beliau terhadap hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dihadapinya gagal.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi KDM sebulat suara menyatakan komitmen untuk meneruskan agenda parti itu bagi memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi mengubah kerajaan negeri pada PRN17 nanti.

Jelasnya, beliau tidak kisah jika tidak dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang dimenanginya ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 jika kekal disabitkan bersalah dalam rayuan akhir kes mahkamahnya yang dijadual diputuskan pada 9 Januari depan.

Peter pada pelancaran Jentera PRN17 DUN Kemabong di Tenom. – Foto/Barry

“Selaku presiden, saya sudah maklumkan kepada pimpinan tertinggi parti, pengasas parti, timbalan dan naib presiden bahawa apa juga terjadi pada 9 Januari nanti, sama ada saya menang atau kalah, semua kawasan yang sudah kita kenal pasti mesti ditandingi.

“Setakat ini kita menyasarkan sebanyak 43 kerusi DUN untuk ditandingi oleh calon KDM dan kita bergerak secara solo. Kita tetap akan bertanding di semua kerusi ini walaupun saya tidak boleh bertanding,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Jentera PRN17 KDM bagi DUN Kemabong, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden KDM yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda.

Peter mengangkat tangan kepada penyokong KDM di Kemabong. – Foto/Barry

Peter berkata, keputusan Mahkamah Rayuan pada 9 Januari depan tidak akan mengubah persiapan parti pimpinannya untuk menghadapi PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober tahun depan.

“Apa sekalipun yang akan berlaku nanti, saya dan keluarga serta parti parti sudah bersedia, keputusan sebulat suara menyatakan sokongan dan pendirian presiden parti bahawa kita akan kekal bertanding mana-mana kawasan sudah kita kenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, jika Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya, kerusi DUN Melalap yang disandangnya ketika ini akan ditandingi calon lain berdasarkan senarai calon yang sudah dikenal pasti. – Info X