𝙅𝙤𝙣𝙖𝙩𝙝𝙖𝙣 𝘽𝙧𝙖𝙙𝙡𝙚𝙮
Kehadiran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tidak harus dipandang ringan, malah parti itu dijangka mampu memberi saingan sengit, seterusnya mencipta kejutan.
Parti yang ketika ini diterajui dua timbalan presidennya, Priscella Peter serta Datuk Wetrom Bahanda kini semakin mendapat sambutan dari kalangan rakyat, lebih-lebih lagi sebagai parti tempatan yang akan bergerak solo.
Walaupun nama KDM tidaklah gah berbanding parti-parti besar yang lain seperti, Warisan, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pakatan Harapan (PH), namun pengaruh mereka semakin ‘membiak’ khususnya di kawasan majoriti Kadazan, Dusun, Murut, dan Rungus (KDMR).
Kebolehan parti itu turut terbukti apabila Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyatakan yang KDM antara parti utama mahu direkrut mereka ke dalam ‘Gabungan Bersatu Sabah’ (GBS) dirancang mereka.
Namun, pelawaan untuk mewujudkan GBS nampaknya ditolak oleh KDM dan saya melihat itu satu langkah bijak kerana mungkin mereka mahu menghindari terkait dengan STAR serta Parti Progresif Sabah (SAPP), parti serpihan GRS yang dilihat semakin lama semakin suram.
Pemimpin-pemimpin diketengahkan KDM juga dilihat bukanlah sekadar ‘melepas batuk di tangga’, mereka mempertaruhkan ramai bakal-bakal calon dari golongan profesional dan elit.

Antara bakal calon KDM pada PRN17 nanti termasuklah bekas pensyarah, bekas guru, bekas pegawai tinggi kerajaan dan bekas pegawai tinggi syarikat perbankan serta swasta.
Sebelum ini, ramai mempersoalkan tindakan KDM menamakan Datuk Wetrom Bahanda sebagai calon Ketua Menteri walaupun tidak bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, perkara itu sebenarnya boleh berlaku sekiranya KDM berjaya memenangi banyak kerusi kerana jika dilihat keadaan politik semasa ketika ini, adalah agak sukar untuk sesebuah parti memenangi PRN17 secara sendirian bagi membentuk kerajaan.
Sudah pasti akan ada gabungan baharu yang akan membentuk Kerajaan Negeri selepas PRN17 nanti, cuma persoalannya parti mana yang akan menerajuinya? Dalam politik apapun boleh berlaku, tidak mustahil juga KDM.
Selepas Presiden KDM, Datuk Peter Anthony menjalani ‘kursus’ di Kajang, ramai menjangkakan parti itu akan lemah, tapi apa yang dilihat adalah sebaliknya, KDM semakin diterima, setiap jelajah mereka sangat meriah dengan kehadiran ramai.
Di kala parti-parti lain saling ‘hentam-menghentam’, KDM dilihat begitu tenang dan lebih fokus dengan gerak kerja mereka memikat rakyat.
Sebelum ini tidak ramai pemimpin parti-parti lain yang dilihat menghentam KDM, mungkin kerana mereka belum ada isu dengan KDM atau mereka tunggu selepas penamaan calon nanti.
Antara cabaran utama yang dihadapi KDM ketika ini adalah dikaitkan dengan parti Warisan dan bagi saya ianya telah dijangka memandangkan presiden KDM sebelum ini merupakan antara pengasas Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal.
Bagaimanapun, perkara itu sering kali dinafikan oleh para pemimpin KDM dan bagi saya ada logiknya, mana mungkin ada kerjasama berlaku jika KDM dan Warisan berentap di banyak kawasan.
Cabaran KDM pada PRN17 sebenarnya bukanlah mudah, mereka berdepan dengan parti serta gabungan gergasi yang mempunyai segala kelebihan terutama dari segi material.
Namun, cabaran KDM sebenarnya tidak boleh dipandang remeh, mungkin ramai yang tidak nampak, tapi di kawasan tertentu nama KDM yang menggunakan logo bunga Rafflesia menjadi ‘bibiran’.
Dengan laungan keramat mereka ‘Misompuru Tokou’ yang bermaksud mari kita bersatu, KDM dijangka mampu mencipta gelombang baharu dalam lanskap politik Sabah pada masa akan datang.
𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙝𝙖𝙣𝙮𝙖 𝙥𝙖𝙣𝙙𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙨𝙚𝙢𝙖𝙩𝙖-𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙢𝙚𝙣𝙜𝙜𝙖𝙢𝙗𝙖𝙧𝙠𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙙𝙞𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙄𝙣𝙛𝙤 𝙓.