Search

PRN17: Keluar GRS, hidupkan GBS, mampukah Jeffrey kembalikan hak Sabah jika jadi Ketua Menteri?

October 28, 2025

Info X Reporters

𝘼𝙡𝙞𝙖𝙨 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝

SELEPAS keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan kini muncul dengan gabungan baharu yang cuba dihidupkan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).

Gabungan dinamakan Gerakan Bersatu Sabah (GBS) yang digerakkan pemimpin STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) itu dilihat cuba menarik parti tempatan lain, termasuk dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk bersama mereka.

Itulah ‘uniknya’ politik Sabah, ada saja sesuatu yang baharu apabila pilihan raya semakin dekat, namun di sebaliknya pasti ada perancangan besar yang sedang diatur pemimpin berpengalaman Sabah itu untuk mendapatkan kuasa daripada rakyat pada hari mengundi 29 November depan.

Apa sebenarnya yang ingin dicapai Jeffery bersama rakan dari SAPP melalui cubaan terbaharunya itu, mampukah GBS menjadi landasan baharu parti tempatan Sabah untuk menjadikan Sabah ini benar-benar Sabah for Sabahan tanpa ada lagi parti Malaya atau nasional dalam DUN Sabah nanti?

Persoalan itu menarik untuk dikupas, terutama dengan melihat penggerak utama GBS yang sebelum ini antara pemimpin kanan dalam kerajaan GRS berdasarkan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri I, jawatan tertinggi pernah disandangnya sepanjang lebih 30 tahun aktif dalam politik Sabah.

Hanya jawatan Ketua Menteri yang belum pernah dipegang Jeffrey, berbanding rakannya dari SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee yang pernah menjadi Ketua Menteri Kesembilan dari Mei 1996 hingga Mei 1998 di bawah sistem penggiliran Ketua Menteri yang diwujudkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Justeru, walaupun Jeffrey tidak menyatakan beliau adalah bakal Ketua Menteri jika STAR dan GBS yang dipimpinnya memperolehi majoriti pada PRN17 nanti, jelas memang itulah sasaran pemimpin berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai pemimpin berpindah paling banyak parti.

Penyandang kerusi DUN Tambunan itu pernah bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), malah dilaporkan pernah cuba memohon menyertai UMNO.

Selepas semua parti itu ‘disinggahi’, Jeffrey akhirnya menubuhkan parti sendiri, iaitu STAR yang pada awalnya diasaskan daripada Parti Reformasi Negeri dari Sarawak dan kini melangkah setapak lagi dengan mewujudkan GBS bagi membentuk pakatan baharu yang lebih Sabahan sifatnya.

Jika ditakdirkan Jeffrey bersama parti dan gabungan baharu pimpinannya menang pada PRN17, 29 November depan sudah pasti Jeffrey bakal dilantik sebagai Ketua Menteri, jawatan yang sukar disandangnya jika kekal dalam GRS.

Berdasarkan perkiraan itu, tidak salah jika dikatakan tindakan Jeffrey membawa STAR bertanding sendiri pada PRN17 yang sekali gus menyebabkannya terkeluar dari GRS sebenarnya adalah satu langkah untuk mencapai impian menjadi Ketua Menteri.

Bayangkan jika Jeffrey menjadi Ketua Menteri, sudah pasti perjuangan Sabah for Sabahan dan mengembalikan hak Sabah yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya kerana memang itulah yang diperjuangkan Ahli Parlimen Keningau itu selama ini.

Malah, disebabkan perjuangan itu jugalah beliau pernah diambil tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dipenjarakan dari 1991 hingga 1994 kerana dituduh cuba membawa keluar Sabah dari Malaysia ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Persoalannya, jika mengetuai kerajaan negeri selepas PRN17 nanti, mampukah beliau mendapatkan semula baki hak Sabah dalam perlembagaan dan MA63 yang belum ditunaikan setakat ini, atau Sabah sekali lagi berdepan laluan sukar berikutan pendekatan Jeffrey yang dilihat bersifat ‘melawan’ persekutuan.

Apa yang dibimbangi, Sabah akan terus dipinggirkan Persekutuan jika dasar kerajaan negeri selepas ini dilihat lebih bersifat mendesak dan lebih parah jika dasar ‘melawan’ dibawa Jeffrey dianggap boleh menjejaskan keselamatan negara hingga sesuatu yang buruk mungkin berlaku di Sabah.

Walaupun semua itu hanya andaian, rakyat perlu memikirkan masa depan negeri ini dalam membuat pilihan bijak dengan mengambil kira halatuju Sabah jika ditadbir parti STAR atau pakatan baharu GBS, Parti Warisan, Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) dan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti sebelum ini.

Rakyat Sabah sememangnya mahu negeri ini dikuasai sepenuhnya oleh parti tempatan, namun kerjasama dengan parti nasional tidak dapat dipinggirkan bagi memastikan hubungan baik yang berterusan dengan Persekutuan dalam menuntut hak negeri menerusi pendekatan diplomasi seperti dilaksanakan GRS.

Berdasarkan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS sebelum ini, gabungan itu tetap bertegas dalam soal penguasaan parti tempatan dengan memastikan GRS tetap menjadi dominan menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN17.

Dengan sekurang-kurangnya 50 kerusi kepada GRS dan 23 kerusi untuk PH, sudah memadai untuk GRS menguasai kerajaan negeri jika diberi mandat oleh rakyat pada 29 November depan dan meneruskan agenda pembangunan yang dirancang serta tuntutan hak negeri, terutama rundingan bagi menunaikan hak 40 peratus hasil bersih Sabah yang diputuskan Mahkamah Tinggi, baru-baru ini.

Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya lebih selesa berunding dengan kerajaan negeri yang sudah ada hubungan sedia ada dengan Persekutuan, lebih-lebih lagi kerajaan yang ada pakatan dengan parti nasional diketuainya iaitu PH.

Agak mustahil rundingan boleh berjalan dengan lancar jika kerajaan negeri yang baharu nanti menolak kerjasama dengan parti nasional, lebih-lebih lagi menggunakan pendekatan bersifat agresif termasuk membawa tuntutan ke mahkamah seperti dicadang Warisan.

Pemimpin Sabah sering membandingkan negeri ini dengan Sarawak, namun kebanyakannya tidak mengambil kira sejarah politik Sabah yang sudah menerima parti nasional sebagai sebahagian daripada persekitaran politiknya dan adalah mustahil untuk ‘menghalau’ mereka keluar.

Atas sebab itu, pemikiran yang rasional dan waras tanpa disempitkan dengan slogan Sabah for Sabahan semata-mata dan amalan berpolitik tanpa henti perlu ada dalam diri rakyat Sabah seiring usaha untuk membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih baik berbanding sekarang.

Dengan menjadikan parti tempatan dominan seperti ditekankan GRS, ia cukup untuk memastikan Sabah tidak lagi dikuasai sepenuhnya oleh parti atau gabungan dari Malaya seperti sebelum ini dan ia wajar dijadikan asas baharu politik Sabah tanpa menjauhkan diri daripada rakan parti nasional, khususnya di bawah kerjasama GRS-PH.

𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙥𝙖𝙣𝙙𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙨𝙚𝙢𝙖𝙩𝙖-𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙢𝙚𝙣𝙜𝙜𝙖𝙢𝙗𝙖𝙧𝙠𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙙𝙞𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙄𝙣𝙛𝙤 𝙓.

END