Search

PRN17: Keluarga GRS dalam keadaan baik – Hajiji

May 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menjelaskan tiada sebarang masalah dalam keluarga Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menerusi satu kenyataan pada Rabu, Pengerusi GRS itu berkata semua lapan presiden parti komponen menyatakan ikrar memastikan kemenangan GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Semua presiden berikrar untuk memastikan kemenangan GRS pada pilihan raya yang akan datang ini dan saya menghargai pandangan serta pendapat mereka.

“Semua mereka adalah pemimpin politik yang matang dan memahami kepentingan GRS sebagai sebuah pasukan hadapan yang bersatu menuju ke pilihan raya,” katanya.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan minum petang bersama tujuh lagi presiden dan pemangku presiden parti komponen GRS di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, pada Rabu.

Mereka ialah pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar
Amin Mulia.

Selebihnya Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Liberal Demokratik ((LDP), Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meluangkan masa bersama ketujuh-tujuh presiden itu selama kira-kira tiga jam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun. – Info X