Search

PRN17: Kerajaan GRS-PH sudah berusaha gigih bawa perubahan – KM

October 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan yang bermakna kepada negeri dan rakyat sepanjang lima tahun yang lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perubahan yang dibawa sepanjang tempoh itu dilaksanakan melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang bersifat holistik dan inklusif.

“Kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini pada pada September 2020.

“Berpandukan tiga tonggak utamanya, pertama, Pertanian, Industri dan Pelancongan; kedua, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, dan ketiga, Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, pelan hala tuju ini telah mencapai kemajuan yang sebenar.

“Kami mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutama berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Hajiji berkata, tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi itu yang membebankan rakyat sejak sekian lama.

Katanya, beberapa inisiatif sudah disiapkan, manakala sebahagian yang lain sedang dilaksanakan dan dijangka disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Dalam tempoh ini, Sabah telah mengukuhkan ekonominya, menarik pelaburan baharu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meluaskan bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial semua lapisan masyarakat.

“Pencapaian ini adalah hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk Sabah yang lebih baik, namun, kerja kita belum selesai.

“Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya,” katanya.

Beliau berkata dengan pembubaran DUN hari ini, pihaknya memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang sudah mulakan, iaitu membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua.

“Besar harapan saya agar keputusan pilihan raya kelak akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan keselamatan serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah tercinta.

“Marilah kita bersama-sama, maju ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tujuan,” katanya. – Info X