Search

PRN17: Kerjasama BN-PH dirunding dengan teliti – Bung Moktar

May 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerjasama Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Pakatan Harapan (PH) akan dirunding dengan teliti sejajar keputusan yang dibuat kepemimpinan Pusat kedua-dua parti.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia termasuk soal pengagihan kerusi dan pendekatan bersama dengan mana-mana parti yang sehaluan bagi menghadapi PRN17.

Beliau berkata, BN Sabah menghormati proses itu dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat.

“Kerjasama ini akan dirunding dengan teliti oleh kepemimpinan BN dan PH Sabah, termasuk soal pengagihan kerusi serta pendekatan bersama dengan mana-mana parti yang sehaluan.

“Kami menghormati proses ini dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, seperti yang ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata UMNO dan BN Sabah menyambut baik keputusan mesyuarat itu yang bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama menghadapi PRN17.

Jelasnya, BN Sabah mengakui realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan.

“Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus,” katanya.

Katanya, BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera dari peringkat negeri hingga akar umbi, dengan sepenuh komitmen, fokus, disiplin dan keikhlasan untuk menghadapi PRN17 sebagai satu pasukan yang bersatu, matang dan berwibawa.

“Kita bukan saja mahu menang, tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen.

“UMNO Sabah percaya bahawa kestabilan hanya dapat dicapai apabila kuasa digunakan dengan amanah dan politik dijalankan dengan adab serta matlamat yang jelas bukan untuk diri, tetapi untuk negeri.

“Kita sudah belajar daripada masa lalu dan hari ini kita bersedia untuk membina masa depan bersama. Demi Sabah, demi rakyat, kita bersatu. Kita matang, kita melangkah ke hadapan,” katanya. – Info X