KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan mandat yang kuat bagi membentuk kerajaan yang stabil selepas PRN17 untuk meneruskan dasar dan komitmen jangka panjang menyelesaikan masalah legasi di negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata masalah legasi seperti air, elektrik dan jalan raya tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan.
“Penyelesaiannya memerlukan pentadbiran yang stabil, dasar yang konsisten dan komitmen jangka panjang yang hanya boleh dicapai dengan mandat yang kuat kepada GRS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau menegaskan Gagasan Rakyat komited untuk terus menjadi tunjang kekuatan GRS, memperkukuh kerjasama antara parti komponen dan menyampaikan mesej perpaduan, kestabilan serta kemajuan kepada rakyat Sabah.
Terdahulu, beliau menyambut baik kenyataan Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menegaskan bahawa semua komponen GRS berada dalam keadaan harmoni dan bersatu menjelang PRN17.
“Sebagai Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, saya ingin menegaskan sokongan penuh parti terhadap kepimpinan Ketua Menteri serta komitmen kami untuk memastikan kemenangan GRS pada PRN demi kestabilan dan kesinambungan pembangunan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021–2025) menunjukkan hasil yang meyakinkan, meletakkan Sabah di landasan yang betul dalam aspek ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
“Kini, kita bersedia melangkah ke fasa baharu iaitu SMJ 2.0 (2026–2030), yang menuntut kestabilan politik sebagai asas utama untuk pelaksanaan dasar yang berterusan dan menyeluruh,” katanya. – Info X