Search

PRN17: Mengecil tapi tetap kukuh, GRS mampu pertahan mandat rakyat

October 10, 2025

Info X Reporters

Alias Abdullah

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) mungkin dilihat ‘mengecil’ dari segi keanggotaan parti, namun tidak bermakna ia adalah satu berita baik kepada pihak lawan yang memandang rendah kemampuan gabungan parti tempatan itu untuk kembali mendapat mandat rakyat.

Daripada lapan parti komponen kepada tinggal enam parti selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar dari gabungan itu, GRS tetap kukuh berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang kini sudah diambang pintu.

Pengunduran dua parti pimpinan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee itu bukan gambaran perpecahan, sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukan GRS setelah ketiadaan pemimpin yang tidak sefahaman dengan perjuangannya.

Tonggak GRS, khususnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) mampu memperkuatkan lagi gabungan parti tempatan itu untuk memenangi PRN17.

Tanggapan pembangkang yang melihat pengunduran STAR dan SAPP sebagai satu perpecahan dalam GRS menjelang pilihan raya adalah tidak tepat kerana GRS kekal wujud dan sedia menggalas cabaran parti lawan untuk bersaing pada PRN17 nanti.

Seorang penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menyatakan pandangannya mengenai pengunduran STAR dan SAPP yang disifatkan ada ‘baiknya’ daripada mereka membuat sabotaj dari dalam GRS kerana tidak bersetuju dengan kerjasama GRS – Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia juga satu peluang kepada parti komponen yang kekal dalam GRS untuk mengisi agihan kerusi ditinggalkan kedua-dua parti itu, selain memudahkan perbincangan kerusi dengan rakan parti komponen PH.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini turut menjelaskan bahawa kedua-dua parti bukan ‘dipecat’ dari GRS, tetapi kehendak mereka mahu bertanding secara solo menggunakan lambang parti sendiri bertentangan dengan prinsip kerjasama gabungan itu.

Keputusan pemimpin kedua-dua parti itu katanya, secara automatik menyebabkan keanggotaan mereka dalam GRS terlucut kerana sebagai satu gabungan, semua parti komponen mesti menggunakan logo yang sama iaitu lambang GRS pada pilihan raya nanti.

Beliau turut menjelaskan semula pendirian meneruskan kerjasama GRS-PH dengan mengambil kira hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelaskan perkara itu ketika ditanya media pada pengumuman pembubaran DUN, 6 Oktober lalu, Hajiji menyatakan hasil kerjasama baik dengan persekutuan, membolehkan Sabah mendapat penurunan kuasa dalam sembilan perkara yang dituntut melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Untuk makluman, sekarang kerajaan negeri adalah kerajaan GRS-PH. Hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan begitu baik, yang mana tuntutan kita dalam MA63 semasa PMX inilah kita mendapat sembilan penurunan kuasa diberikan kepada Sabah.

“Jadi ini menunjukkan bahawa hubungan yang baik itu kita perlu teruskan. Lagipun, kerajaan negeri adalah kerajaan GRS-PH, takkan kerjasama ini kita tidak teruskan.

“Kita mesti tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting sekali untuk masa depan Sabah, untuk kemajuan Sabah. Kenapa kita harus gaduh dengan kerajaan Persekutuan? Kerajaan kita juga.

“Di samping kita mementingkan menuntut hak kita dan mempertahankan hak negeri, kita juga harus menjaga kepentingan negara kita, itu kepercayaan saya. Jangan kita jaga kepentingan negeri, kita robohkan kepentingan negara, itu tidak boleh,” katanya.

Kenyataan Ketua Menteri itu jelas menggambarkan pendiriannya yang tidak mahu melihat hubungan negeri dan persekutuan terjejas hanya disebabkan memenuhi kehendak politik pemimpin yang bersifat bertentangan.

Sokongan kuat terhadap GRS juga boleh dilihat menerusi tindakan lima penyandang kerusi mewakili STAR, termasuk timbalan Presidennya, Datuk Ellron Angin (Sook) yang kekal menyokong GRS dan sedia meninggalkan STAR untuk menjadi ahli langsung GRS.

Empat lagi pemimpin STAR yang tidak bersetuju dengan tindakan Jeffrey ialah Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Walaupun PRN17 bakal menyaksikan calon GRS ditentang calon STAR dan SAPP berikutan hasrat kedua-dua parti bertanding semua 73 kerusi, selain parti pembangkang lain, ia adalah situasi biasa dalam amalan demokrasi di Malaysia, lebih-lebih lagi di Sabah yang sememangnya terkenal negeri paling ramai calon bertanding setiap kali pilihan raya.

Sebelum ini, ada pemimpin bertindak bertanding sebagai calon bebas apabila tidak mendapat kerusi yang dikehendaki atau tidak dicalonkan, menyebabkan mereka dilabel sebagai pensabotaj parti atau gabungan dan dilihat sebagai punca pecah undi.

Namun, dengan tindakan jelas keluar daripada gabungan dan bertanding solo, maka tanggapan seperti itu dapat dielak, maka ia juga patut dilihat sebagai satu pendekatan yang wajar bagi mengelakkan hubungan yang keruh sesama gabungan atau parti yang bekerjasama.

Apa yang jelas, tindakan keluar gabungan dan penampilan empat gabungan utama parti termasuk GRS sendiri dan pelbagai parti tempatan lain, selain calon bebas yang bertanding pada PRN17 nanti bakal menjadikan pilihan raya itu bukan saja satu pertembungan yang sengit, malah menarik untuk disaksikan.

end…

Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan bukan menggambarkan pendirian rasmi Info X