KOTA KINABALU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi gambaran kemungkinan parti pimpinannya akan menyertai Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, PAS akan bersama rakan parti yang mahu bekerjasama dengannya, tanpa menyebut secara khusus mana-mana parti.
Beliau berkata, pimpinan PAS perlu melihat terlebih dahulu kekuatan parti itu di negeri ini, termasuk jentera dan sokongan yang diterimanya sebelum membuat keputusan.
Jelasnya, jika bertanding, PAS perlu berbincang dengan rakan parti dan menilai kekuatan jentera bagi menentukan jumlah kerusi yang bakal ditandingi.
“Ia bergantung kepada perbincangan dengan rakan parti, bergantung kepada kekuatan jentera kita.
“Kerjasama dengan parti lain juga kita akan lihat, ia masih dalam perbincangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen PAS Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan dan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Abdul Hadi juga tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain dengan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, PAS menerima hakikat kewujudan masyarakat majmuk dan kepelbagaian anutan agama di Sabah dalam menentukan perancangan parti itu di negeri ini.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Abdul Hadi menekankan perlunya PAS mempunyai kerusi di negeri ini untuk mewakili suara parti itu.
Ketika ini, PAS mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, iaitu Aliakbar yang dilantik ketika PN masih sebahagian daripada kerajaan negeri, namun belum pernah memenangi sebarang kerusi di Sabah. – Info X