KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan mengadakan konvensyen bersama, dengan tumpuan terhadap isu semasa dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada Sabtu ini.
Konvensyen yang diadakan di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) itu dijadual dirasmikan Ketua Menteri selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Menerusi satu kenyataan, PBS menjangkakan lebih 5,000 orang, termasuk pemimpin parti, wakil akar umbi dan ahli kedua-dua parti bakal menghadiri konvensyen yang julung kali diadakan itu.
Katanya, jemputan turut dipanjangkan kepada pemimpin parti komponen dalam GRS.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan akan menyampaikan ucaptama masing-masing berkaitan langkah ke hadapan menghadapi pilihan raya.
Konvensyen itu sejajar dengan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani PBS dan STAR pada 18 April 2024, yang disasarkan bagi mengukuhkan kerjasama ke arah memastikan kejayaan GRS pada pilihan raya nanti. – Info X