KOTA KINABALU: Pemimpin muda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memilih untuk melihat kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Pakatan Harapan (PH) Plus dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Segama, Mohd Zulmer Zulkapli @ Along, berkata kerjasama yang dibentuk selepas PH menyokong GRS ketika cubaan rampasan kuasa oleh pemimpin UMNO dan Warisan pada awal tahun lalu itu perlu diteruskan.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, pandangan pemimpin veteran seperti disuarakan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mahu GRS bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN17 tidak sesuai dilaksanakan.
“Walaupun saya bukan seorang tokoh politik berpengalaman seperti Tan Sri, sebagai ahli biasa dari akar umbi GRS dan juga seorang anak muda yang baru menyertai politik, izinkan saya sampaikan pendapat saya bahawa cadangan tersebut tidak sesuai dengan situasi politik semasa di Sabah.
“Tan Sri mungkin terlupa bahawa ketika cubaan perebutan kuasa oleh Bung Moktar – Shafie Apdal, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH lah yang menyokong Kerajaan GRS sehingga membolehkan kerajaan negeri stabil.
“Malah, Tan Sri juga mungkin terlupa bahawa dalam PRN yang lalu, sebagai seorang presiden parti yang terhormat, Tan Sri sendiri telah tewas di kawasan kubu kuat Tan Sri sendiri.
“Tidakkah Tan Sri menghargai bantuan daripada rakan-rakan PH yang membantu Kerajaan GRS ketika saat-saat genting kudeta Shafie-Bung Moktar?
“Adakah Tan Sri tidak menyedari kepentingan mengekalkan semangat setiakawan dalam kerajaan GRS-PH Plus yang ada sekarang ini?,” katanya merujuk kepada kenyataan Pandikar Amin baru-baru ini.
Gagasan Rakyat dan USNO adalah dua daripada lapan parti politik tempatan yang membentuk GRS ketika ini.
Zulmer berkata, berdasarkan situasi politik semasa di Sabah, adalah penting bagi pemimpin di semua peringkat, sama ada di peringkat atasan, bahagian, atau akar umbi untuk bertolak ansur dan bertimbang rasa dalam membuat keputusan.
Katanya, gabungan GRS-PH Plus membuktikan bahawa kerjasama di antara parti mampu membawa kestabilan dan pembangunan kepada Sabah.
“Sejarah telah menunjukkan bahawa perpecahan hanya akan merugikan rakyat Sabah dan melambatkan pencapaian matlamat pembangunan.
“Bukan seperti sesetengah parti yang khayal dan rakus bertanding kerusi dalam pilihanraya seperti Warisan yang bertanding solo di 52 kerusi Parlimen (termasuk Labuan dan Semenanjung) pada PRU lalu tapi hanya mampu memenangi tiga kerusi.
“Hanya dengan semangat setia kawan dan perpaduan, kita dapat memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi orang Sabah yang akan datang,” katanya.
Jelasnya, rakyat semakin muak dengan politik retorik dan berteriak sana sini hingga menambahkan ketegangan tanpa memberikan apa-apa manfaat.
Di samping itu, katanya kestabilan politik adalah kunci utama bagi menarik pelaburan baharu ke Sabah kerana pelabur lebih yakin untuk melabur dalam persekitaran politik yang stabil dan harmonis.
“Apa yang sebenarnya diinginkan oleh rakyat adalah pembangunan yang berterusan yang dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Mereka ingin melihat pembinaan infrastruktur yang kukuh, akses kepada pendidikan yang berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan berkesan, serta pekerjaan yang luas dan bermaruah.
“Selain itu, rakyat juga mahukan pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk masyarakat, bukan sekadar memegang jawatan untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Sehubungan itu beliau mahu sebarang cadangan mengenai kerjasama menghadapi PRN akan datang mengutamakan kepentingan jangka panjang dan berusaha keras mengekalkan kesatuan serta keharmonian dalam Kerajaan GRS-PH Plus. – Info X