Search

PRN17: Pemuda Gagasan Rakyat kemuka lima nama calon

March 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengemukakan lima nama untuk dipertimbangkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketuanya, Datuk Fairuz Renddan, berkata senarai nama itu akan dikemukakan kepada Ketua Menteri selaku Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kalau peringkat pemuda memang kita sudah ada kemukakan, cuma belum dimuktamadkan sebab kita ada mencadangkan empat hingga lima orang yang boleh diketengah pada PRN akan datang ini.

“InsyaAllah….kita akan terus kemukakakan senarai calon pemuda kerana ini adalah prosedur biasa dalam parti.

“Kita hantar nama-nama yang dirasakan berpotensi kuat sebagai calon namun kesimpulannya pemuda akan akur dengan keputusan presiden parti,” katanya.

Fairuz berkata demikian ketika ditemui media pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media pada Isnin.

Dalam pada itu, ditanya sama ada nama-nama yang dikemukakan terdiri daripada nama sedia ada atau muka baharu, Fairuz berkata terdapat muka baharu dan lama dalam senarai terbabit.

“Ada yang nama sedia ada yang pernah bergelar calon pada pilihan raya lalu tetapi muka baharu juga kita ketengahkan kerana memiliki kekuatan sebagai calon,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu menegaskan akan terus mempertahankan kerusi disandangnya pada PRN17.

“Saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan memang mahu kekal jika diberi kepercayaan oleh presiden.

“Selagi rakyat di DUN Pintasan masih mahu saya menjadi wakil rakyat mereka, insyaAllah saya akan pertahankan kawasan itu dan kekal berjuang demi rakyat,” katanya. – Info X