KUALA PENYU: UMNO Sabah dijangka memeterai perjanjian lebih awal dengan rakan parti yang akan bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perjanjian itu perlu diawalkan sebelum berlangsung PRN17 bagi mengelak sebarang isu berkaitan kerjasama masing-masing selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Katanya, UMNO Sabah mengambil iktibar apa yang berlaku selepas PRN lalu untuk lebih berhati-hati memilih parti gabungan yang akan bekerjasama dengannya pada PRN17 nanti.

“Kita sudah lalui perjanjian dibuat selepas PRN lalu untuk membentuk kerajaan, bagaimanapun setelah kerajaan dibentuk, UMNO dibaratkan seperti parti ‘melukut di tepi gantang’ walaupun memperolehi lebih banyak kerusi berbanding parti lain.
“Justeru pengalaman ini perlu dijadikan pengajaran dan sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi PRN perlu dibuat sebelum pilihan raya berlangsung,” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di Dewan Datuk Shahbandar Makang, di sini, kelmarin.
Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rafi Alli Hassan, Datuk Yakub Khan dan Datuk Siti Aminah Aching; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Wakil UMNO Sabah, Abdul Rahman Noh dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengakui tiada parti yang dominan boleh membentuk kerajaan tanpa sebarang gabungan kerjasama dengan parti lain pada PRN akan datang.
Sehubungan itu, beliau berkata UMNO Sabah perlu lebih berhati-hati dan hanya menjalin kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian.
“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian antara satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.
“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah. Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang akan membantutkan usaha membangunkan Sabah,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, siapapun gandingan UMNO Sabah nanti, ia akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan kepada calon BN pada PRN17.
Setakat ini, UMNO Sabah bagaimanapun belum memutuskan rakan parti yang akan bekerjasama dengannya.
Sebelum ini, UMNO Sabah dilihat rapat dengan Warisan, namun tiada pengesahan mengenai kerjasama rasmi di antara kedua-dua parti itu. – Info X