KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah akan menentukan soal kerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Perkara itu dijelaskan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin bagi memperbetulkan kenyataan Timbalan Bendahari PKR Sabah, Datuk Nordin Ening sebelum ini.
Nordin sebelum ini menyatakan bahawa PKR Sabah menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan pusat, khususnya presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memutuskan sebarang gabungan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17.
Razeef berkata kenyataan Nordin pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Silam (Lahad Datu), baru-baru ini disalah tafsir dan bercanggah dengan keputusan parti di peringkat negeri.
“Sebagai makluman, soal kerjasama dalam pilihan raya ditentukan oleh MPN KEADILAN Sabah kemudian diserahkan kepada Pimpinan Pusat sebagai makluman sebelum diumumkan.
“Ini berbeza dengan laporan yang mendakwa kerjasama ditentukan oleh pimpinan pusat.
“KEADILAN Sabah mempunyai autonomi sendiri dalam menentukan agihan kerusi, rakan kerjasama serta manifesto yang akan dibawa bersesuaian dengan semangat Sabahan.
“Saya juga meminta Pimpinan Parti di negeri ini untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa merujuk kepada MPN,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, PKR Sabah sudah memutuskan hanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi boleh mengeluarkan kenyataan sendiri, manakala Ketua Penerangan diberi amanah selaku jurucakap parti, selain boleh mengeluarkan kenyataan selepas disahkan Biro Politik.
“Jadi kita minta pimpinan parti untuk menjaga disiplin dalam berorganisasi dan tidak gelojoh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa merujuk MPN,” katanya. – Info X