KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk kembali membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan pada tahun depan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau yakin gabungan itu kembali bangkit setelah berdepan pengkhianatan sebahagian besar pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah sebelum ini.
Beliau mengaku kecewa terhadap apa yang berlaku sebelum ini tetapi kini sudah kembali bersemangat untuk membina semula kekuatan PN agar dapat kembali berkuasa di negeri ini.
“Kita menghadapi pengkhianatan daripada pemimpin BERSATU di Sabah sebelum ini dan memang kita kecewa apabila PN runtuh di negeri ini, tapi saya rasa bersemangat semula hari ini. Kita akan bangkit dan kuatkan parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen BERSATU Sabah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden BERSATU yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, pada sidang medianya, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata semua bahagian parti itu di Sabah sudah ditubuhkan semula selepas insiden pengkhianatan berkenaan.
“Alhamdulillah, semua telahpun tertubuh balik dengan hampir 600 cawangan di 25 bahagian. Ini petanda baik untuk politik di Sabah yang menunjukkan bahawa perjuangan BERSATU tidak mati.
“Malah, konvensyen pertama BERSATU Sabah pada hari ini menunjukkan penyertaan yang tinggi untuk meneruskan perjuangan kita di Sabah. BERSATU dan PN ada agenda untuk majukan Sabah, menegakkan keadilan serta berikan apa saja pertolongan dan bantuan kepada rakyat Sabah secara adil dan saksama.
“Ini perjuangan kita sejak dulu lagi tapi terganggu disebabkan peristiwa politik yang lalu dan ini adalah kesediaan pimpinan baharu kita di Sabah,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung langkah yang akan diambil bagi menghadapi PRN17.
Katanya, BERSATU dan PN akan membuat penilaian terlebih dahulu dan hanya membuat keputusan apabila tiba masanya, termasuk sama ada mahu bekerjasama dengan parti lain atau sebaliknya.
Beliau juga enggan memberikan jawapan terhadap kemungkinan untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum ini menjadi rakan PN selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) menerusi kerjasama Barisan Basional (BN) pada September 2020.
“Kami belum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, kita akan buat penilaian kita dan apabila tiba masa nanti baru kita buat keputusan. Kita akan teliti perkara ini dan perhalusi sama ada boleh bantu atau tidak boleh kerjasama atau tidak,” katanya. – Info X