Search

PRN17: Poster ‘calon BN’ di media sosial tiada kaitan dengan BN – Suhaimi

October 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menafikan penyebaran poster beberapa pemimpinnya didakwa sebagai calon yang akan diketengahkan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata poster yang tular di media sosial itu adalah palsu dan tiada kaitan dengan BN.

Beliau juga menyifatkan perkara itu sebagai satu cubaan untuk mengelirukan rakyat dan memecahbelahkan jentera gabungan berkenaan.

“Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa poster yang mendakwa mewakili calon BN Sabah untuk PRN17. Kami ingin menegaskan bahawa semua poster tersebut adalah palsu dan tiada kaitan dengan BN.

“Cubaan sebegini jelas adalah strategi pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat, memecah-belahkan jentera BN dan melemahkan momentum kami.

“Mereka tahu, BN mempunyai jentera pilihan raya yang kuat, disiplin tinggi dan calon-calon yang berkaliber, sehingga potensi kemenangan BN sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pafa Khamis.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, BN Sabah kini bersedia dengan barisan calon yang 80 peratus muka baharu, mewakili tenaga muda, profesional dan rakyat.

Jelasnya, dengan kombinasi pengalaman kepimpinan, strategi tersusun dan tenaga segar, BN yakin calonnya dapat membawa kemenangan cemerlang pada PRN17.

“Cubaan pihak tertentu untuk mengacau bukanlah satu kejutan. Kami bukan sahaja bersedia, malah lebih kuat. BN tidak akan goyah dengan propaganda palsu, kami fokus kepada kerja, calon dan rakyat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terperangkap dengan berita palsu dan poster tiruan itu.

“Sebaliknya, teruskan memberi sokongan kepada BN yang nyata membawa kepimpinan stabil, pembangunan dan hasil yang terbukti,” katanya. – Info X