Search

PRN17: Rakan kerjasama UMNO Sabah belum diputuskan

February 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah belum membuat sebarang keputusan mengenai soal kerjasama dengan parti lain atau mahu bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Timbalan Ketuanya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, sehubungan itu berkata sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan yang dilaporkan di media sebelum ini bukan merujuk kepada keputusan parti.

Jelasnya, setakat ini mesyuarat parti yang dihadirinya tidak pernah membincangkan soal kerjasama dengan parti lain atau memutuskan untuk BN bertanding sendiri pada pilihan raya itu nanti.

“Dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru inipun, tiada perbincangan mengenai dengan siapa gabungan kita atau perbincangan mengenai berapa kerusi yang dituntut oleh UMNO dan sebagainya, tiada sebarang perbincangan.

“Maksud saya, dalam keadaan kita berdepan dengan pilihan raya ini, semua orang mahu bercakap, tapi siapa sumber itu.

“Sekarang, saya sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah boleh beritahu kamu bahawa dalam mesyuarat perhubungan kami setakat ini tiada disebut soal itu,” katanya.

Beliau ditemui selapas pelancaran Projek Hab Tenaga Minyak dan Gas, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di sini, semalam.

Sebelum ini, ada laporan mengenai kemungkinan BN bertanding solo pada PRN17 nanti, selain kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menolak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, perbincangan di antara UMNO Sabah dengan UMNO pusat mengenai soal kerjasama pada PRN17 juga masih berterusan kerana banyak perkara dinamik yang berlaku.

“Setiap hari ada saja perkembangan terbaharu politik di Sabah ketika kita makin dekat dengan pilihan raya ini, tapi keputusan pasti akan dibuat juga.

“Namun, di Sabah bertanding solo mungkin satu pilihan yang tidak sesuai kepada mana-mana parti politik, kita mesti ada gabungan dan setakat yang saya tahu mesyuarat perhubungan negeri belum ada membincangkan mengenai ke mana hala tuju kita,” katanya.

Katanya, semua ketua bahagian dan pemimpin UMNO Sabah sememangnya menunggu keputusan parti mengenai hala tujunya pada PRN17 nanti dan berharap ia disegerakan kerana pilihan raya sudah semakin dekat.

“Kalau keputusan mengatakan kita bergabung dengan parti lain, kita sebagai ahli parti akur kepada keputusan parti itu, masalahnya belum ada keputusan,” katanya.

Sementara itu, katanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka ke Sabah pada 23 Februari ini sempena sambutan ulang tahun UMNO Sabah yang diadakan di Tawau. – Info X