Search

PRN17 sebelum Jun 2025 – Masiung

September 29, 2024

Info X Reporters

TONGOD: Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dijangka diadakan sebelum pertengahan tahun depan seperti dibayangkan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut tiga sayap utama Gagasan Rakyat, iaitu pemuda, wanita dan beliawanis menggerakkan jentera sebagai satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Beliau turut mengarahkan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gagasan Rakyat dan pengerusi zon di setiap kawasan supaya bersiap siaga membentuk pasukan gerak gempur menghadapi PRN.

Katanya, Gagasan Rakyat juga akan menjalin hubungan kerjasama dengan parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan jentera kempen PRN di seluruh negeri nanti.

“Mulai sekarang semua jentera parti dalam GRS tidak boleh berlengah, sebaliknya menumpuhkan usaha menyusun gerak kerja pilihan raya secara aktif.

“Ketiga-tiga sayap utama GRS harus turun padang bagi menyelami masalah masyarakat di peringkat akar umbi selain bergerak dalam satu pasukan dengan matlamat yang sama,” katanya.

Masiung menyerahkan baju Gagasan Rakyat kepada bekas Penyelaras BERSATU DUN Kuamut, Libon Ali selepas sah menyertai Gagasan Rakyat.

Beliau berkata demikian dalam menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Kuamut, di sini, semalam.

Pada majlis itu, empat pemimpin utama parti pembangkang di Kuamut mengumumkan keluar parti untuk menyertai Gagasan Rakyat di Kuamut.

Mereka ialah bekas Penyelaras PDM UMNO Keramuak, Abdul Gafar Jailani; bekas Pengerusi Penyelaras Umno Zon Tongod, Micheal Orogan; Penyelaras BERSATU Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut Libon Ali dan Timbalan Penyelaras UMNO zon Tongod yang juga Ketua Cawangan UMNO Bingkulat, Kalmin Bambasang. – Info X