Search

PRN17: Semua parti berhak untuk menang – UMNO Sabah

September 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semua parti berhak menyuarakan keyakinan kepada rakyat bahawa mereka mampu memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) apabila bertanding nanti.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, berkata mana-mana parti, bukan hanya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bebas menyatakan keyakinan itu.

Katanya, walaupun parti tanpa sebarang kerusi dalam kerajaan negeri ketika ini boleh memberikan keyakinan itu kepada rakyat.

Jeffery Nor Mohamed.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akhir berada di tangan rakyat yang akan memilih parti mana yang disokong untuk membentuk kerajaan selepas PRN17.

“Memberi keyakinan seperti ini perkara biasa bagi mana-mana parti yang menawarkan diri untuk bertanding walaupun ada parti yang tidak mempunyai sebarang kerusi ketika ini atau parti yang belum teruji dalam pilihan raya sebenar termasuk GRS.

“GRS hanya dapat membentuk kerajaan kerana adanya gabungan dari parti lain termasuk UMNO selepas PRN16,” katanya selepas program Ziarah Kasih UMNO Putatan di Taman Jumbo, Petagas, hari ini.

Ketua UMNO Putatan itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Usukan, baru baru ini.

Hajiji dilaporkan berkata bahawa beliau yakin kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus pimpinannya mampu kembali memerintah selepas PRN17.

Jeffery berkata, Ketua Menteri itu berhak memberi keyakinan kepada ahli partinya tetapi tidak kepada majoriti rakyat Sabah yang masih melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan GRS.

Jeffrey Nor menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk ketima program Ziarah UMNO Putatan di Taman Jumbo Petagas.

Jelasnya, setelah hampir sepenggal memerintah negeri ini, pelbagai isu menjadi rungutan, terutama kemudahan prasarana jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan kemiskinan yang sehingga kini gagal ditangani.

Beliau berkata, rakyat turut mempersoalkan integriti dan prinsip dibawa GRS sebelum ini yang pada mulanya menyokong Perikatan Nasional (PN) namun apabila gabungan itu gagal membentuk kerajaan selepas PRU15, ia membuat pusingan 360 darjah menyokong PH.

“Ini tidak termasuk ada dalam kalangan pemimpin GRS bermain dua kolam. Di peringkat negeri menjadi Timbalan Pengerusi GRS, tapi menyokong PN di peringkat pusat dan memegang jawatan Timbalan Pengerusi PN yang bertentangan dengan konsep Kerajaan Perpaduan.

“Justeru, rakyat Sabah masih mempersoalkan integriti dan prinsip perjuangan Gagasan Rakyat yang sebenarnya dan apakah terlalu mudah bagi PH menerima GRS sebagai badan gabungan untuk menghadapi PRN17 akan datang,” katanya.

Malah, katanya sebelum PRN17 sudah timbul isu penggunaan lambang yang bakal digunakan pada pilihan raya itu nanti yang mana ada pihak mahu lambang GRS, manakala satu pihak lagi mahukan lambang PH.

Jeffery berkata, hanya rakyat Sabah yang dianggarkan menghampiri 1.5 juta orang termasuk pengundi muda yang bakal mengundi pada PRN17 lebih bijak memilih parti yang diyakini untuk membentuk kerajaan yang bertanggunjawab terhadap pembangunan dan kesejahteraan seeta kebajikan rakyat negeri ini.

“Bagi UMNO, kita akan meneruskan usaha mendekati rakyat, mendengar keluh kesah mereka dan membantu apa saja bentuk bantuan yang mampu diberikan.

“Kepemimpinan UMNO di semua bahagian boleh dikatakan setiap minggu melaksanakan lawatan turun padang melihat sendiri kesukaran hidup yang rakyat lalui.

“Soal insfrastruktur asas, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan kemiskinan. Walaupun kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan garis kemiskinan tegar di negeri ini telah diselasaikan,” katanya.

Mengenai persediaan UMNO untuk menghadapi PRN17, Jeffery berkata gerak kerja dan jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi sudah dibentuk.

Beliau berkata, UMNO Sabah memberi jaminan manifesto BN pada PRN17 adalah aku janji yang mampu dilaksanakan.

“Ia bukannya janji bulan dan bintang atau satu gagasan besar sebagaimana yang dijanjikan oleh parti lain yang akhirnya gagal ditunaikan dan rakyat terus menagih janji.

“Manifesto BN Sabah dikeluarkan mengikut keupayaan BN untuk menunaikannya, ia bukan sekadar manifesto atau gagasan besar yang tidak mampu ditunaikan,” katanya. – Info X