Search

PRN17: Shahelmey, Andi Muhammad mungkin tanding tiket GRS

October 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy mungkin bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS ketika ditanya status kedua-dua penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu itu.

Katanya, beliau tiada halangan untuk menerima mereka setelah kedua mereka memaklumkan keinginan untuk bertanding atas tiket GRS pada pilihan raya itu nanti.

“Nanti apabila sampai masanya, kita akan dapat tentukan (kedudukan mereka). Mereka sekarang berkeinginan untuk mewakili ataupun bertanding atas tiket GRS, itu keinginan mereka

“Jadi, saya tiada halangan kerana mereka adalah pemimpin, seorang menteri dan seorang lagi pembantu menteri,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Shahelmey dan Andi Muhammad memenngi kerusi masing-masing termasuk kerusi Parlimen atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun sejak awal 2023.

Tindakan dibuat UMNO Sabah itu selepas kedua-dua mereka menentang keputusan UMNO Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri dan kerajaan GRS yang mencetuskan kemelut politik Sabah pada Januari 2023.

Bagaimanapun, jika bertanding atas tiket GRS, kedua-duanya perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Sementara itu, Hajiji berkata rundingan GRS dan PH mengenai agihan kerusi belum lagi selesai, dengan baru separuh dapat dimuktamadkan setakat ini.

“Kita sudah berbincang dengan PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini dan setengah daripadanya kita sudah dapat muktamadkan agihan itu,” katanya tapi enggan menjelaskan jumlah kerusi yang selesai dirunding.

Beliau juga enggan menyatakan jumlah sebenar kerusi yang diminta pihak PH, namun menekankan semua pihak perlu bersikap praktikal dalam permintaan masing-masing.

“Memanglah, mana-mana gabungan pun mahu kerusi yang banyak, tapi kita mesti praktikal, mana-mana kawasan yang ada peluang tinggi untuk kita menang itulah kita minta.

“Ia supaya peluang kita untuk menang pada pilihan raya adalah tinggi,” katanya. – Info X