Search

PRN17: Shahelmey beri bayangan mahu pertahan Tanjung Keramat

March 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut, khususnya berkaitan parti yang akan diwakilinya pada PRN itu nanti berikutan statusnya sekarang yang digantung UMNO.

Ditemui media pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, petugas pusat khidmat Tanjung Keramat dan media, pada Ahad, beliau berkata mahu bertanding, namun niat itu belum diputuskan lagi.

“Lebih kurang begitulah, mahu bertanding, tapi simpan dululah. Namun demikian, kita tetap membuat persiapan dari segi jentera. Payung apa (parti), nanti kita tetapkan,” katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau seolah-olah memberi bayangan mengenai hasrat itu berdasarkan gurauannya mengenai sambutan hari raya.

Katanya, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada awal bulan depan, ada dua lagi hari raya bakal diraikan iaitu Aidiladha dan yang paling besar ialah PRN17.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dalam dilema berikutan statusnya yang digantung dalam parti seperti dimaklumkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebelum ini.

Ia menyebabkan beliau tidak mungkin dicalonkan semula UMNO Sabah, malah seorang pemimpin lain iaitu Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed sudah dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Tanjung Keramat oleh Bung Moktar.

Jika bertanding atas tiket parti lain, Shahelmey terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Putatan dan ia bermakna satu pilihan raya kecil perlu diadakan bagi kerusi itu sejajar dengan undang-undang anti lompat parti.

Beliau digantung UMNO selepas tidak bersetuju dengan keputusan UMNO Sabah menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kemudian mencetuskan kemelut politik Sabah pada Januari 2023.

Mengulas mengenai calon yang diumumkan Bung Moktar di kerusi yang disandangnya, Shahelmey berkata perkara itu hanya ‘diumumkan’, namun watikah sebagai calon hanya dikeluarkan BN menjelang PRN nanti.

“Politik itu bersifat dinamik tetapi apa yang penting ialah kita perlu menjalankan tugas hingga akhir penggal,” katanya. – Info X