KOTA KINABALU: PKR Sabah menyifatkan peningkatan sokongan terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan laporan tinjauan penyelidik mencerminkan ‘mood’ rakyat Sabah yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata ‘mood’ rakyat Sabah mahukan kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan sebagai jaminan pembangunan dan kemakmuran berterusan.
“Secara keseluruhannya, dapatan ini juga sekali gus mencerminkan mood rakyat Sabah yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi yang memberi rating tertinggi kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri.
“Ternyata kestabilan politik baik di peringkat Persekutuan dan Negeri kekal menjadi pilihan utama buat rakyat yang mahukan pembangunan dan kemakmuran.
“Rakyat mahukan kesinambungan, bukan perbalahan. Menjelang PRN Sabah 2025, apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan dan Kerajaan Madani semakin meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu menyatakan sokongan PKR Sabah yang menyambut baik dapatan tinjauan Ipsos (Ipsos Populism Report 2025) mengenai keyakinan rakyat terhadap masa depan negara yang terus meningkat.
Laporan itu, katanya menyatakan bahawa jumlah responden yang merasakan keadaan negara merosot, menurun daripada 52 peratus pada 2023 kepada 40 peratus pada 2025, berada di bawah purata global iaitu 57 peratus.
“Ini menunjukkan rakyat dapat merasai usaha reformasi institusi dan impak positif yang dibawakan Kerajaan Madani.
“Indikator ini menunjukkan bahawa rakyat bertambah yakin dengan usaha YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat lawatan rasmi dalam meningkatkan kerjasama pelbagai hala terutamanya menarik pelaburan ke tanah air.
“Sambutan dan penghormatan yang amat baik negara-negara luar dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri telah mengangkat Malaysia sebagai Negara yang disegani,” katanya.
Beliau berkata, ia ditambah lagi hasil kajian Merdeka Centre baru-baru ini yang mendedahkan penarafan kelulusan terhadap YAB Perdana Menteri meningkat kepada 55 peratus pada Mei 2025, satu peningkatan ketara berbanding 43 peratus pada Jun 2024.
Katanya, kelulusan terhadap kerajaan persekutuan juga naik kepada 50 peratus berbanding 40 peratus pada 2024.
“Secara tidak langsung ini menangkis naratif ketidakpuasan terhadap Kerajaan Madani dan meletakkan asas kestabilan politik sebagai keutamaan rakyat,” katanya. – Info X