Search

PRN17: SPR akan dimaklumkan jika DUN terbubar sendiri – Speaker DUN

August 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M Yahya, berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika DUN terbubar sendiri pada 11 November depan.

Beliau berkata, penggal DUN sekarang akan genap tempoh lima tahun pada tarikh itu dan secara automatik terbubar sendiri jika tiada pembubaran dibuat sebelum tarikh berkenaan.

“Apabila penggal DUN semasa berakhir, DUN akan terbubar secara automatik tanpa perlu sebarang pengisytiharan tambahan.

“Selepas itu, adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk menetapkan tarikh pilihan raya baharu,” katanya pada sidang media di DUN Sabah, di sini, pada Khamis.

Beliau turut ditanya sama ada masih sempat untuk DUN sekarang bersidang jika belum dibubarkan sehingga tarikh tamat tempoh penggal DUN tiba.

Katanya, beliau sendiri tertanya-tanya sama ada masih ada persidangan DUN, namun beliau berkata perkara itu terpulang kepada kerajaan untuk persidangan DUN diadakan atau tidak.

Sehingga kini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Sebelum ini, beliau membayangkan kemungkinan DUN dibubarkan selepas Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada akhir Julai lalu, namun sehingga kini belum ada pembubaran dibuat. – Info X