Search

PRN17: STAR, SAPP yakin menang atau hanya cubaan atas kehendak pemimpin

October 16, 2025

Info X Reporters

Alias Abdullah

MAMPUKAH Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mencipta kejutan memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi membentuk kerajaan baharu selepas mengumumkan bakal bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persoalan itu penting memandangkan kedua-dua parti tidak lagi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diasaskan bersama sejak 2020 setelah keanggotaan mereka terlucut pada awal bulan ini, kira-kira seminggu sebelum DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN17.

Kedua-dua parti terkeluar daripada GRS selepas pemimpin tertinggi mereka memutuskan untuk bertanding atas logo masing-masing pada PRN17, malah mengumumkan bertanding di semua kerusi, dan ia bermakna akan ada pertembungan STAR atau SAPP dengan GRS.

Adakah STAR dan SAPP berada pada kedudukan yang benar-benar kuat dan menerima sokongan besar rakyat hingga yakin mampu memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya nanti atau hanya sekadar ‘cubaan’ untuk memenuhi kehendak ketua masing-masing.

Apa yang jelas, tindakan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee itu pasti menjadikan pilihan raya kali ini lebih ramai dan meriah dari segi penyertaan parti dan calon berbanding pilihan raya sebelum-sebelum ini.

Bayangkan sebanyak empat gabungan utama, GRS, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selain parti bergerak solo, Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), STAR, SAPP, Parti Impian Sabah, Parti Bumi Kenyalang dan banyak lagi parti lain, selain calon bebas.

Sudah pasti tiada calon yang berdepan saingan satu lawan satu, sebaliknya setiap kawasan dijangka menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru yang tentunya menjadikan saingan PRN17 lebih sengit dalam sejarah pilihan raya Sabah.

Namun, apa yang menyedihkan, tindakan STAR dan SAPP juga memberi gambaran mengenai kesukaran parti tempatan Sabah sendiri untuk bersatu dalam erti kata yang sebenar kerana masing-masing mempuyai agenda yang tersendiri.

Pada masa yang sama, tindakan kedua-dua parti itu juga menjelaskan mengenai sikap sebenar pemimpinnya yang tidak pernah setia dalam perjuangan berpasukan walaupun pada awalnya bersetuju untuk sama-sama bergabung demi menguatkan parti tempatan Sabah di bawah satu gabungan.

Lebih parah, STAR dilihat seolah-olah cuba melaga-lagakan bekas pemimpinnya dengan anak atau ahli keluarga sendiri apabila Jeffrey mengumumkan anak Datuk Robert Tawik dan anak Datuk Ellron Angin sebagai calon STAR selepas kedua-dua bapa mereka tidak mengikut Jeffrey meninggalkan GRS.

Robert yang menyandang kerusi DUN Bingkor bakal ‘ditentang’ anaknya sendiri, Razzidin yang dinamakan oleh Jeffrey sebagai calon STAR di DUN Bingkor pada PRN17 jika Robert dicalonkan semula oleh GRS.

Anak Ellron pula, Jordan Jude dinamakan sebagai calon DUN Tulid dan bakal bertembung dengan penyandangnya, Datuk Flovia Ng yang juga meninggalkan STAR untuk kekal bersama GRS jika dicalonkan semula atas tiket gabungan itu.

Walaupun Jordan dan Razzidin menolak sebarang andaian berlaku ‘pergaduhan keluarga’ disebabkan pemilihan mereka sebagai calon, namun ia menggambarkan sikap terdesak Jeffrey untuk menjatuhkan bekas orang kanannya dengan cara yang boleh dianggap ‘jahat’.

Malah, Jeffrey sendiri mempunyai sejarah melawan abangnya sendiri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hingga menyebabkan pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) itu tewas di kerusi DUN Tambunan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 setelah memenanginya sejak 1976.

Pada PRN17 ini, Jeffrey dijangka akan mempertahankan lagi kerusi DUN Tambunan, namun sama ada beliau mampu memenanginya semula atau menang dengan majoriti lebih besar menggunakan lambang STAR bakal diketahui selepas hari mengundi nanti.

Jeffery memang terkenal berpindah banyak parti dan berdepan krisis kepimpinan bersama rakan parti bermula dengan bersama PBS, kemudian Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR), sebelum menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), PKR dan akhirnya STAR yang pada mulanya diasaskan dari Parti Reformasi Negeri dari Sarawak.

Sementara itu, SAPP pasti diingati sebagai parti serpihan PBS berikutan tindakan Yong meninggalkan PBS pada 1994 dengan membawa bersama beberapa ADUN mewakili masyarakat Cina sebelum menubuhkan SAPP yang kemudiannya menyertai Barisan Nasional (BN).

Ketika itu, PBS jatuh disebabkan tindakan keluar parti sebahagian besar pemimpinnya memberi laluan kepada BN membentuk kerajaan negeri walaupun pilihan raya negeri ketika itu pada awalnya dimenangi PBS.

Yong kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri dari 1996 hingga 1998 menerusi sistem penggiliran Ketua Menteri yang diwujudkan BN.

Sistem itu menetapkan penggiliran jawatan Ketua Menteri dalam kalangan pemimpin Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina dengan setiap seorang memegang jawatan selama dua tahun.

Berpandukan sejarah politik lalu, tindakan meninggalkan rakan seperjuangan bukanlah perkara luar biasa dalam kalangan parti di Sabah, namun akhirnya apa yang mahu diketahui ialah sama ada parti itu mampu kekal dalam tampuk kuasa atau tidak.

Sejarah juga menyaksikan SAPP hilang taring apabila popularitinya sebagai parti diyakini masyarakat Cina bermula pada 1994 pudar apabila sokongan pengundi Cina beralih kepada DAP bermula pada 2013.

Malah, Yong sendiri tewas di tangan Datuk Junz Wong yang pada PRU 2013 bertanding atas tiket DAP di kerusi DUN Likas dan selepas itu SAPP gagal bangkit dalam persaingan politik Sabah yang semakin kompleks.

Yong hanya bernasib baik dapat kembali ke persidangan DUN setelah dilantik sebagai ADUN Dilantik pada 2020 hingga DUN Ke-16 dibubarkan pada 6 Oktober lalu atas ihsan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Kini, setelah berada di luar GRS, STAR dan SAPP merancang untuk membentuk kerajaan dengan slogan Sabah for Sabahan dan menolak sama sekali kerjasama dengan parti nasional untuk menjadikan Sabah sama seperti Sarawak yang mana kerajaannya dikuasai sepenuhnya oleh parti tempatan.

Namun, dengan pendekatan politik yang digunakan, mampukah kedua-dua parti mendapat kepercayaan rakyat Sabah untuk membawa negeri ini ke arah sama seperti negeri jiran.

GRS yang ditinggalkan mereka, walaupun bekerjasama dengan PH pada pilihan raya kali ini juga mempunyai misi yang sama, namun Hajiji selaku pengerusinya sudah menjelaskan mengenai acuan politik Sabah yang berbeza berbanding Sarawak.

Hajiji pernah menjelaskan bahawa kerjasama dengan parti nasional bukan bermakna meminggirkan parti tempatan, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu bentuk diplomasi untuk menuntut hak Sabah tanpa membelakangi kepentingan Malaysia yang dibentuk bersama.

End

Artikel ini hanya pandangan penulis semata-mata dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Info X.