Search

PRN17: STAR sasar bertanding 15 kerusi

May 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyasarkan 15 kerusi untuk diwakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Jumlah itu didedahkan Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika ditanya mengenai agihan kerusi yang diminta parti itu menerusi perbincangan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, STAR tidak berahsia mengenai jumlah kerusi yang diminta kerana menjadi kelaziman setiap parti politik untuk meminta jumlah kerusi yang ingin ditandingi dan menambah kerusi sedia ada.

“Itu biasalah dalam politik, kalau boleh semua parti politik mahu tanding 73 kerusi. Jadi begitulah adat politik, kita dengar dan kita masing-masing menimbulkan hasrat, tiada yang salah.

“(Bagi STAR) secara peribadi kalau boleh, semua saya mahu tanding. Tapi tidak boleh kan dalam kumpulan, kita berbagi-bagi kerusi.

“Tapi, memang hasrat kita supaya ada penambahan (kerusi) dan kita rasa kita ada kebolehan untuk memenangi, kita luahkanlah.

“Itu bukan rahsia, sekitar 15 (kerusi),” katanya menyatakan jumlah kerusi yang disasar parti pimpinannya di bawah GRS pada PRN17 nanti.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas pelancaran filem pendek Tinorindak Olisi oleh PETRONAS sempena sambutan Kaamatan tahun ini, di sini, pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu turut mengesahkan kerusi yang bakal ditandingi STAR tidak bertindih dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti lain dalam GRS.

“Tidak, kami berbincang dengan PBS, kami juga berbincang dengan parti komponen lain dalam GRS. Kita kena selesaikan isu ini sebelum kita berbincang dengan parti-parti lain di luar komponen,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan mengenai agihan kerusi itu belum diselesaikan, namun ia dijangka dimuktamadkan sebelum PRN17 diumumkan.

Ketika ini STAR menyandang enam kerusi iaitu Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Tulid dan Paginatan. – Info X