Search

PRN17 : Tempoh DUN sekarang masih panjang, kata Ketua Menteri

April 13, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Belum ada sebarang petanda mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan diadakan lebih awal atau sebelum tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang.

Perkara itu berdasarkan jawapan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang antara lain menjelaskan tempoh DUN sekarang masih panjang, iaitu berbaki kira-kira setahun setengah lagi.

“(Bila pilihan raya), itu saya tidak tahu. Walaupun saya sebagai ketua kerajaan yang akan membuat keputusan bila kita mengadakan pilihan raya, tapi tempoh (DUN) kita sekarang sehingga hujung September tahun depan,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada sudah memikirkan bila tarikh PRN17 diadakan memandangkan ramai menjangkakan pilihan raya mungkin diawalkan sejajar peningkatan ‘suhu’ politik di Sabah sejak kebelakangan ini.

Katanya, berikutan tempoh DUN sekarang yang masih panjang, tumpuan kerajaan negeri pimpinannya lebih kepada menyelesaikan isu yang didepani rakyat Sabah ketika ini.

“Kita masih ada banyak lagi tugasan yang perlu ditunaikan dan dilaksanakan oleh kerajaan, khususnya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang rakyat sedang hadapi sekarang ini seperti isu air.

“Walaupun masalah air ini bukan perkara baharu dan diwarisi daripada kerajaan yang lalu tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan menyelesaikannya.

“Kita sudah mempunyai peruntukan RM300 juta untuk melaksanakan beberapa projek yang kita rasa kalau siap nanti akan dapat melancarkan agihan air di Kota Kinabalu dan juga daerah yang lain,” katanya.

Hajiji berkata, berdasarkan usaha yang giat dilaksanakan bagi mengatasi isu air ketika ini, kerajaan negeri menjangkakan masalah air khususnya di ibu negeri dan daerah sekitarnya selesai dengan siapnya pelaksanaan projek berkaitan pada tahun ini.

Pada Ramadan lalu, Hajiji menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang yang ‘menyerang’ beliau dan kerajaan negeri berhubung pelbagai isu yang dihadapi rakyat Sabah ketika ini termasuk masalah air seolah-olah PRN sudah dekat, namun beliau menjelaskan tempoh untuk PRN masih panjang. – Info X